Monday, December 17, 2012

Keliru antara halal dan haram.
Banyak perkara yang kita lihat hari ini sama ada pakaian, makanan, pergaulan dan seumpamanya.
Malah menghalalkan yang haram pun ada...

Kecelaruan berlaku tanpa disedari.... menutup aurat misalnya,.sekadar menutup apa yang perlu ditutup atau tutup seperti yang disuruh tanpa kesempurnaan.

Yang mana betul?


Berkenaan pakaian adalah termasuk dalam bahagian adat, agama islam mewajibkan atas orang Islam lelaki dan perempuan supaya berpakaian menutup aurat sama ada ketika sembahyang atau diluar sembahyang dan haram membukakan aurat melainkan dalam masalah yang tertentu dan tidak pula agama islam menyatakan cara potongan pakaian yang tertentu bagi menutup aurat dan badan itu

Firman Allah taala dalam Al-Quran:يابني آدم قد أنزلنا عليكم لباسا يواري سوءاتكم وريشا ولباس التقوى ذلك خير - الأعرف : 26

Ertinya: Wahai anak adam sesungguhnya telah kami turunkan atas kamu pakaian yang menutup aurat kamu dan kami telah turunkan perhiasan bermula pakaian takwa (amal soleh) adalah lebih baik dari yang demikian.


Makanan yang halal sangat penting. Sama ada halal dari segi hukumnya atau halal disebabkan tidak menjejaskan kesihatan atau memberi kemudaratan. 
Panduan mencari makanan halal
Makan ikut selera juga boleh memudaratkan
Kita yang tentukan kesihatan diri kita sendiri

Kesimpulannya: 
Mencari yang halal itu wajib. Menjauhi yang haram itu wajib. Oleh itu menjadi kewajipan kita untuk melakukannya. Bersamalah mencari redha Allah. Apa yang disuruh dan dilarang pasti ada hikmah di sebaliknya. Yang pasti...semua yang baik itu dari Allah dan yang buruk itu adalah daripada kelemahan kita sendiri. Wallahualam.

OUR MUMS ARE SO SPECIAL.

Being a mum is perhaps the most challenging and rewarding job in the world. They may not make headlines with all unseen work  they do, day in day out, but their patience, generosity and love never fail to shine through...


Petikan kata darisebuah buku yang dihadiahkan oleh anak-anak sempena ulang tahun perkahwinan begitu bermakna. ( A Book For MUM ...Because she's so special...oleh Diana Craig)
Cuma sayangnya agak lewat untukku buku ini berada di tangan kerana anak-anak sudah meningkat remaja dan sedang membina kelengkapan diri untuk menjadi insan yang boleh berdikari.

"The Empty Nest"....
Setelah membesarkan anak-anak dan menyediakan mereka dengan keperluan yang sewajarnya dengan harapan mereka akan menjadi remaja yang bertanggungjawab dan berdikari. Tetapi tiba-tiba segala harapan itu musnah..." the kids are grown-up enough to leave home"...sudah pasti pengalaman ini begitu menyedihkan.. ..
"Her fledgings are leaving the nest".

"Going, going, gone"...
Fikirkan...seorang ibu menghabiskan masa mungkin selama 18 tahun atau lebih. Malah kalau kalau mereka bekerja, masanya tetap diperuntukkan untuk keluarga. Tugasnya bukan sahaja sebagai ibu, tapi juga sebagai jururawat dan guru. Bermula daripada perkara yang mudah iaitu memastikan anaknya makan dengan sempurna, mengajar mereka perkara-perkara penting tentang kehidupan dan bagaimana melakukan itu dan ini. Malah kadangkala mengajar anak belasan tahun mereka bagaimana cara memamdu kereta. Semua perkara ini telah menjadi rutin hidup seorang ibu. Apabila anak-anak mereka meninggalkan rumah segala tanggungjawab itu dibawa bersama. Sebagai ibu...kita akan merasa suatu kehilangan.

"No wonder a mother might feel at loss! A Large part of her identity has just walked out the door" 

"What Wise Mums know"
The phase between being a dependent living at home and living independently  away from home is a particularly challenging time ai the mother -child relationship.
Wise mums know the rules are changing.

Sebagai ibu...aku sendiri selalu lupa untuk menjadi "Wise MUM". Walaupun anak-anak telah masuk kolej/universiti...aku selalu menganggap mereka seperti anak kecilku...Aku selalu lupa bahawa anak gadisku  akan menjadi isteri orang suatu hari nanti dan dia perlu tahu bagaimana untuk mengurus keperluan dirinya dan keluarga...Lalu terfikir sendiri...adakah aku sudah menjadi ibu yang bijak untuk anakku menjadi seorang wanita yang bangga dengan kebolehannya dan kreativitinya sendiri?
Sudahkah aku menjadi "smart parent" untuk anak bujangku kerana selalu melakukan semua untuknya apabila pulang dari kolej saban minggu....Aku terlupa bahawa anak bujangku akan menjadi seorang suami...dan dia kena tahu mengendalikan kehidupannya bagi membantu isterinya nanti.
                                                                                                                                                                                           Sama ada
 mereka tidak menghiraukan keadaan itu atau menguruskannya dengan daya kreativitinya sendiri...kita perhatikannya perlahan-lahan.
"...allow them their brief illusion of freedom. Their time will come..."

Buat Anak-anakku...
Semoga Mama sentiasa di hatimu....

Cikgu Khaty.
17/12/2012

Saturday, November 24, 2012


CINTA GURU


by Cikgu Khaty Ali on Tuesday, 18 September 2012 at 23:37 ·
Pantasnya masa berlalu. Banyaknya urusan yang perlu diselesai. Belum terlepas daripada tangan kiri, tangan kanan sudah menyambar tugas yang baru. Tidak kurang yang bercekang mata menyiapkan sisa tugas yang bakinya masa tidak terhitung.Malam sudah terlepas ke awal pagi. Hari tanpa sedar berganti tanpa disedari. Jejari tetap tabah melakar warna merah pada kajang yang penuh berisi. Mata terpaksa menanggung derita kerana berjaga lebih masa. Seluruh urat nadi terasa bagai hampir putus. Namun itulah cinta seorang GURU. Hanya guru juga mengerti erti pengorbanan itu. Dihargai atau tidak oleh anak didik itu bukan soalnya. Hatinya berbunga ingin mengetahui perkembangan anak didik daripada keputusan yang dicapai. Dan aku, terkesima dengan pengorbanan kalian. Hari ini simpatiku melimpah rasa, apabila terdengar rintih kecil seorang guru tetapi wajahnya riang kerana tanggungjawabnya terlaksana.

Tidak meraih simpati juga tidak minta dikasihani. Cukuplah kalau ada yang mengerti dan memahami dan menghargai akan apa yang dibebani. Bahu guru ini masih menggalas tugas walau datangnya bagai peluru satu demi satu. Tidak juga mereka gagah seperti tentera di medan perang. Perkasanya kerana semangat dan kegigihan. Kekuatannya kerana jiwanya penuh keikhlasan. Kerana aku guru, aku juga yang akan tahu. Kerana aku guru, aku juga yang saban hari menjadi saksi.Letaklah guru kami di medan mana pun, tidak gentar mereka mencuba. Bagilah tugas apapun, kesungguhannya pasti ternyata.

Sekalung budi cintaku padamu guru. Terakam jasamu dalam ingatan. Perjuanganku adalah daripada benih perjuanganmu yang terus hidup...menyemarak bagai api merah membakar. Moga obor semngat ini tidak akan padam dan terus menyala meyuluh warisan pendidik pejuang bangsa. 

Semoga pagi esok, apabila mentari terbit pagi, guru-guruku akan terus tersenyum dengan semangat yang jitu. Semoga keikhlasan dan kemurnian hatimu, membawamu ke pintu syurga.

Amin.

Cikgu Khaty
18 September 2012. 

IZINKAN AKU

Izinkan aku
menjadi sepi pada semua bicara
kerana lidah yang tidak bertulang ini
akan sering melafaz silap
dan hati akan jadi luka 
apabila tidak berkata benar.

Izinkan aku
membiarkan suara jadi bisu
pada semua kata
kerana bibir yang menggerak rasa hati
kan sering menyucuk rasa
dan jiwa akan jadi pilu
apabila tiada lagi gurauan lucu.

Izinkan aku
berada pada suatu sudut
belajar tentang kehidupan
yang terus berubah-ubah
dan kadang kawan pun aku tidak kenal
sahabat pun bukan lagi ubat.

Izinkan aku
membina harga diri
dengan onak yang datang dari setiap sisi
supaya bisa aku berdiri
membuka jendela pagi.

Izinkan aku
membina keakuan yang jitu
melontar kebencian yang terbuku
menjahit luka-luka yang panjang
supaya hati tidak beku
dan keras menjadi batu...

Cikgu Khaty Ali
10 Zulhijjah 1433 (Salam Aidiladha)

Tuesday, June 12, 2012

Kursus BTN di Kem Mahmod Pasir Mas: Sebuah Rindu

Lama rasanya tidak menulis. Walaupun rindu bertaut datang, tetapi kekangan masa menjadi penghalang. Banyak perkara yang berlaku terbiar dalam kotak fikiran. Sayangnya tak semua mampu diingat dengan usia lewat sebegini. Esok, lusa, tulat, kenangan-kenangan itu makin menipis dan samar-samar. Akanku cuba mencoret semana mampu, selembar demi selembar kisah yang berlalu dengan masa yang sedikit terluang dan tekanan mula mengurang. Bukan bermakna kerja berkurang, tetapi dengan kemurahan hati dan ringan tulang serta kepintaran anak-anak buah unit, semuanya menjadi ringan dan menyenangkan.

26 Mei-28 Mei, mencatat kenangan manis yang sukar dilupakan. 
Masihkah kau ingat
kita berlari-lari
di kaki langit
mencari pelangi....
Itulah antara lagu penutup tirai yang begitu melekat di ingatan. Kem Mahmod Pasir Mas Kelantan, mencatat sejarah untuk kami warga SMK Taman Setiawangsa. Kami berkampung selama 3 hari 2 malam di sana mengikuti kursus BTN anjuran BTN Putrajaya. Walaupun langkah pertama di situ menimbulkan pelbagai kontrovesi, tetapi langkah pulang penuh misi.

Kumpulan 8: kalian terpahat dalam hati. Adik-adikku yang terdiri daripada Mahathir (ketua kumpulan), Ustaz Fatahur Rahman,  Normah Mispar, Shamsinar,Fazanaton, Latifah, khairuni,Yuslina , Normami dan Kak Ani (bagai kakak sulong). Keakraban begitu terasa. Bekerja dan ketawa bersama, makan semeja, duduk sekumpulan. Saling memuji dan menghargai. Semoga kumpulan ini tidak terkubur di kem Mahmod Pasir Mas, tetapi terus kukuh ukhwahnya di Setiawangsa.

"Dom mate"...Kak Sa, Datin Hasnah, Kak Ani, Fatimah, Rokiah Rohana, Zafinas, Fazanaton, Rushidah, Ruzani dan Hasniza (untuk semalam, sebelum pulang ke KL untuk ke Vietnam)....kenangan manis bersama. Riuh rendah dom dengan gelagat kalian. Sporting mereka yang nak tidur awal,...tetap lena walau suara memecah telinga. Gurau senda, gelak ketawa tak mengira usia, kedudukan dan pangkat. Kami adalah satu keluarga, dibungai kasih sayang. 

"Bilik Mandi"...menyimpan rahsia tersendiri. Sang kodok yang mengejutkan dan menyebabkan kami bagai lupa diri menjerit, lubang-lubang kecil di dinding-dinding yang menyebabkan aku terpaksa meninjaunya di setiap dinding zink bilik air dan menutupnya dengan tisu dan  tempat mandi yang tidak berpintu, bagai berada di kampung ketika zaman kanak-kanak. Sesekali teringat mengamit rindu. Bagai kanak-kanak, kami riuh rendah di bilik air...semua bagai melepas 'tension'.

Aktiviti jelajah kawasan perkampungan memang memenatkan. Perjalanan pergi sejauh lebih kurang 6 KM kami tempuh bermula jam 2.30 ptg.. Cuaca panas kurang terasa, sebab sekitarnya dipenuhi dengan pohon-pohon pelbagai jenis. Tambahan, bergerak dalam kumpulan sambil bercerita, kurang terasa penatnya.Sampai di Check point pertama, kami disoal. Jika tidak dapat menjawab soalan, kami tidak dibenarkan meneruskan perjalanan. Apa yang disoal ialah perkara yang diceramahkan pada sesi pagi. Malangnya, kebanyakan kami mengantuk dan tidak dapat fokus kepada apa yang diceramahkan. Terima kasih kepada Cikgu Normah yang bijak...dan kumpulan kami dapat meneruskan perjalanan.

Check point dua. Agak malang juga...soalan-soalan sejarah yang berkaitan dengan perlembagaan dan pertubuhan Malaysia...kami saling mencuba. Dapat juga menjawab tetapi, disebabkan kurang memuaskan agaknya, ceramah ringkas hampir 10 minit terpaksa didengar sebelum perjalanan diteruskan....Itulah, kalau tidak fokus dalam kelas, ibaratnya kandas.

Check point tiga. Lebih melucukan. Tentang politik pulak. Hal-hal berkaitan dengan parlimen, wakil rakyat dan undi..."lain kali, sejarah kena baca, ambil tahu..."...haha. Kalau bagi tahu awal-awal nak bagi soalan sejarah, kami bacalah awal-awal kan!...Maka, mengakulah semua,...saya cikgu sains, saya cikgu matematik, saya cikgu KH..bla..bla...bila dikenang lucu juga. Akhirnya, 1 KM lagi perjalanan dapat diteruskan sebelum ke tempat rehat di pengkalan sebuah tasik. Ada khemah disediakan...paling penting air sirap sejuk!!!!Dahaganya...

Bermulalah peristiwa-peristiwa lucu dan penuh pengalaman di pengkalan ini. Nantikan.

Thursday, March 29, 2012

"Misteri Di Sebalik Penjara Tuol Sleng"

Hari ini berpeluang balik awal sikit, waktu zohor sudah ada di rumah...kerana tugas luar.BEST!
Sambil baring-baring, say sempat membaca majalah Anis yang dah lama terletak di atas rak di hujung kepala.
"Misteri Di Sebalik Penjara Tuol Sleng"
Kisah zaman kuku besi rejim 'Pol Pot' sekitar tahun 1975-1979.
...lebih kurang 70,000 orang rakyat Kemboja pada zaman itu dipenjara di situ, yang letaknya kira-kira 20 minit dari bandar Phnom Penh.Di sinilah tempat mereka yang dipenjara itu diseksa dan dihukum...dan tida harapan untuk dilepaskan.
...Setiap hari mereka ditarik bagai menarik lembu, diikat tangan dan kaki, dipukul dan disebat tanpa sebarang pakaian.
Bukan itu sahaja, kepala mereka diselamkan ke dlam tempayan yang berisi air najis dan pelbagi seksaan yang memeritkan.Di sini, semua tawanan diseksa, dipasung dan dipaksa mengaku atas semua pertuduhan yang dihadapkan - walaupun tuduhan itu tidak benar. Mudah cerita, seiapa yang ditahan di sini penghujungnya adalah mati.



Pada zaman rejim Pol Pot, terdapat tiang yang dulunya digunakan oleh pelajar untuk aktiviti sekolah(bangunan penjara ini aslnya sekolah) digunakan untuk menyeksa tahanan dengan cara menggantung mereka secara terbalik – kaki di atas dan kepala dibawah. Tahanan akan disebat dan dipaksa mengaku salah. Sekiranya mereka enggan, mereka akan diseksa sehingga pengsan. Ketika itu, kepala tahanan akan dimasukkan ke dalam tajau yang berisi air limbah sehingga mereka sedar.
Setelah itu, mereka akan diseksa dengan cara yang sama sampailah pengakuan bersalah dicatatkan.
Jenayah yang dilakukannya jelas merupakan antara rekod kekejaman kemanusiaan terburuk dalam sejarah.
 Pnom Phen dikenali sebagai "Bandar Hantu".
Paling menyedihkan selama tiga tahun , lapan bulan dan 20 hari tidak kedengaran azan...Ajaran Islam mati ketika itu.

Bersyukurlah dengan kehidupan yang kita kecapi sekarang ini.....

Sumber:
Tulisan Noor Hadijah Hassan (Majalah ANIS)
Galeri Penerbit TV.

Wednesday, March 21, 2012

NIKMAT SIHAT

Nikmatnya kalau SIHAT.

Malangnya orang selalu lupa akan nikmat ini (termasuk saya juga) dengan mengabaikan penjagaannya supaya nikmat itu tidak hilang. Lebih sedih lagi kita selalu lupa mensyukuri nikmat SIHAT itu dan selalu tidak mengambil iktibar daripada mereka yang sakit.

Ketika menaip ini, betapa saya sedang berasa btapa nikmatnya kalau saya sihat kerana pada saat ini saya sedang melawan kesakitan yang kalau diikutkan hati saya akan terus melunjurkan badan di atas katil. Kaki bagai tak mampu menampung badan saya yang tak besar mana ini...sengal, lenguh, kekejangan yang datang silih berganti. Apabila berdiri lama terasa bagai mahu pitam. Mata pula sesekali berpinar dan apa yang dilihat bagai berpusing.

Semasa menulis ini pun sesekali bagai melayang...dan pandangan sesekali kabur. Jika tidak hampir maghrib...memang katillah tempatnya.

Dan waktu ini...betapa SIHAT itu sangat saya harapkan.
Bila tidak sihat, senyum pun jadi tawar.
Wajah pun tidak ceria.
Mood pun hambar...

Cepatlah sihat kembali...Rindunya pada SIHAT tu walaupun sehari ditinggalkan.

Maka, semasa SIHAT...hargailah nikmat kurniaan ALLAH. Jangan cerewet dengan apa yang dimakan.Kerana jika sudah sakit...semua yang dihidang tidak menyelerakan.

Semoga semua sahabat saya dikurniakan kesihatan yang baik, ceria dan dipelihara Allah dari segala musibah dan bencana serta dijauhi daripada segala penyakit.

Tuesday, March 20, 2012

Di bawah Satu Payung Kenangan

(Buat semua teman persekolahan...Habibah, Rahimah, Fadzilah, Norhayati, Yusof,Faridah, Norlia, Misah, Asri, Daud , Mad Rox, Abu Zarin, Junaidah, Zakaria,...dan semua yang tak mampu disenaraikan)

Meniti usia senja
tiada siapa sangka
kenangan silam lewat 30 tahun lalu
menyapa ruang kenang mengamit rindu
rakan tawa dan tangis silih berganti datang
tanpa sua wajah
juga tanpa suara
yang kulihat barisan kata penuh mesra
bagai kita saling bertentang mata.

Itulah nikmat kehidupan
Allah mengatur maya ciptaan-NYA
namun kita cuma bisa mengenang dan mengingat
masa tetap berlalu pergi
zaman yang ditinggal
makin sayup dan sepi.

Zaman remaja pantas berlalu
kita pun mungkin tidak bisa meneka wajah
segalanya berubah bersama usia yang meniti
semuanya telah ada kehidupan sendiri sendiri
alir sungai dan ombak kehidupan
mendamparkan kita merata pelosok dunia
dan akhirnya kita bertemu di sini
melakar kembali kisah semalam
menyikat kembali kenangan silam
walau sudah ada yang tidak diingat lagi.

Salam persahabatan
buat semua rakan persekolahan
salam persaudaraan dari dekat dan jauh
kita jadi keluarga besar
di bawah satu payung kenangan
dan kemesraan hamparan buminya.

(Cikgu Khaty Ali)
20 Mac 2012

Tuesday, February 28, 2012

Kehidupan Yang Tersurat

Bulan yang sebulan sekali menyapa
mengintai dengan rasa malu
perlahan-perlahan memperkenal diri seluruhnya
sehingga isi alam tersenyum
pada warna indahnya
di tengah gulita malam.

Dengan sopan pula
melangkah pergi perlahan-perlahan
sabar dan tenang
bagai meninggalkan sang kekasih
sarat dengan cinta dan rindu.

Tunggullah
sepurnama lagi aku kembali
wajah senyum sinar cintaku
menyuluh seluruh rindumu
tanpa jemu aku datang dan pergi
kerana itulah yang telah diaturkan
sebuah kehidupan untukku
dan aku
tidak bisa mengubahnya.


Cikgu Khaty Ali
28/2/2012 10mlm)

MADAH ORANG DAGANG

Memendam rasa pedih berbisa
berkata pula hati terluka
helah bermadah orang tak faham
berkata jelas panah menikam
duduk berdiam hancurnya hati
mencurah rasa tiada yang sudi
berkongsi kisah tiada yang endah
membisu pula sakitnya parah.

Apa gerangan hidup berdagang
di sini tiada di sana kurang
bercakap lebih banyak salahnya
berdiam sombong begitu tuduhnya
hendak berlagak jangan sekali
bertambah pula orang membenci
berbuat baik biar berpada
bimbang dituduh menagih cinta

Di khalayak ramai menjaga laku
nama baik jaga selalu
kiri dan kanan orang memuji
pusing belakang orang mengeji
biar mengalah dari berbalah
dari bertengkar berpecah belah
jangan sedih diri dilupa
kasih Allah dilipat ganda
sentiasa mengenang budinya orang
suburkan sifat berkasih sayang.

Akhir kata menyusun jari
mana yang silap harap maafi
semoga kita Allah pelihara
dunia akhirat hidup bahagia.

Cikgu Khaty
Sore 28/2/2012