Syair orang bersara
pujangga orang lama
menyusur sungai usia
membilang demi masa.
Dulu ke sana kemari
tinggal anak tinggal suami
kini sampai masa kembali
mendaftar diri sebagai suri.
Dulu lelah sana sini diredah
rasa letih dan keluh kesah
apa diarah diterima pasrah
demi tugas sukar dibantah.
Kini semua terurai sudah
langkah bebas hati tak gundah
ke hujung dunia boleh dijengah
semua dihajat tak perlu berlengah.
Kerna dirinya seorang guru
murid dan rakan pasti dirindu
berpuluh musim mencurah ilmu
Saban hari sekolah ditunggu.
Berhujung minggu cuti pun begitu
ada sahaja program menunggu
kini semuanya akan berlalu
suami dan anak perhatian ditumpu.
Selamat tinggal dunia pendidik
kenangan manis pasti dikelek
yang pahit ubat yang baik
redha segala tiada yang jelek.
Bagi yang tinggal sumbangkan bakti
anak didik kalian sayangi
berputus asa jangan sekali
semoga hidup Allah berkati.
Mohon ampun setulus kata
diri ini janganlah dilupa
di angin lalu khabarkan berita
jika rindu datang menyapa.
(CIKGU KHATY: 23 Mei 2015)