Saturday, November 12, 2011

DITIPU, TERTIPU, MENIPU@PENIPU

Ditipu, menipu dan tertipu merupakan lumrah kehidupan.
Kalau kita telah ditipu, pasti akan berasa sakit hati, marah, kecewa dan semua rasa yang pahit, masam dan yang tak enak itu bagai melekat pada lidah dan hati.Lebih-lebih lagi kalau kita ditipunya 'hidup-hidup'Sekiranya orang itu terlalu baik, tidak berkira, murah hati dan tak banyak'songel'...hati-hatilah anda mungkin akan ditipu oleh sipenipu yang tak tahu malu.
Apatah lagi kalau tertipu...(Tipah tertipu...??)...memang menyakitkan hati. Kita akan berasa bagai diperbodohkan, ditertawakan dan dipersendakan. Tapi tidak semua perkara yang kita tertipu itu mendatangkan sakit hati. Sekiranya itu sekadar gurauan janganlah kita terlalu serius tentangnya. walau bagaimanapun sebelum orang itu 'tertipu', tengok-tengoklah dulu siapa orangnya. Tidak semua orang boleh menerima gurauan kita.
Paling buruk kalau ada perangai yang suka 'menipu'. Mengapa menipu?...banyak sebab. Nak untung, macam-macam cara orang menipu. Nak dipandang hebat pun ramai orang menipu; menipu sijil, menipu augerah, menipu kelulusan dan pencapaian...menipu itu dan ini...sehingga orang yang tertipu mengataka, "Wah, hebatnya!..." Malah ada yang nak pikat orang atau nak kawin lagi sanggup menipu. Depan pijak semut tak mati, tapi di belakang dialah gajah yang bertelinga besar perut yang besar, mulut yang besar dan belalai yang panjang. Nak hidup beb...kenalah pandai menipu! Jadi kalau tak menipu tak boleh hidup ke?...
Jadi, fikirlah. Di mana kita berada. Dalam kelompok ditipu, tertipu atau menipu. Berhati-hati jangan sampai digelar PENIPU!

Tuesday, November 8, 2011

Little Mysterious: Hadiah untuk kami ibu dan bapa ialah "SEORANG ANAK...

Little Mysterious: Hadiah untuk kami ibu dan bapa ialah "SEORANG ANAK...: Salam aidiladha. Raya yang penuh pengertian dan kaitannya dengan kehidupan seharian.Menonton televisyen, mendengar radio mahupun makalah-mak...

Demi sebuah persahabatan:

Usianya sudah lingkungan 60an. Seorang pesara guru yang bersemangat kuat. Masih terus gagah bekerja dengan syarikat milik keluarga. Pagi di pejabat, petang di kebun sekitar rumah. Pagi sebelum ke pejabat pun sempat mengerjakan apa yang patut di sekitar rumah. Keliling rumahnya penuh dengan hasil tangannya, cili, terung, kunyit yang subur menghijau, ulam-ulaman, piang dan nanas. kalau musim buah,rambutan, pulasan, manggis, duku dan durian tidak habis dimakan.

Dalam usia begitu kesihatannya kerap juga terganggu, lebih-lebih lagi masalah jantung, darah tinggi dan kencing manisnya. Kehebatannya melawan penyakit, kalah orang muda. Sambutan Aidiladha disambut meriah di rumahnya. Tidak kering tangan menolong di dapur macam suri rumah. Disebabkan terlalu penat mungkin, tengah hari raya, beliau ditimpa sakit. Bergegas anak-anak dan ipar duai menghantar ke klinik.
Hujung minggu ini beliau akan ke Kelantan menghadiri majlis walimatul urus sahabat baiknya yang pernah sama-sama mengajar di sabah.
... Atas keadaan dirinya, ahli keluarga menasihatkan agar dibatalkan sahaja niatnya...

Hari ini, beliau telah gagahkan diri, walau belum sembuh sepenuhnya demi untuk menunaikan janji. Sahabat baik sedang menunggu kedatangannya. Beberapa orang lagi sahabat yang sama merantau dahulu juga berkumpul di sana. Kelantan sudah berbunga di mata.
" Bukan penat pun...tak memandu duduk sahaja dalam kereta..."
Akhirnya semua akur. Walaupunkelihatan masih lemah, tetapi di matanya bercahaya tanda gembira yang dia sudah agak sihat untuk melaksanakan hasratnya.
"Dia dah lama benar tak jumpa dengan En Wan tu..." itulah kata mengalah isterinya, yang terpaksa akur untuk pergi.
Hari ini beliau sudah samapi di Kuala Lumpur untuk menyambung perjalanan seterusnya, esok atau lusa.
...mana mungkin diuzurkan diri. 11.11 2011, mengamit mereka datang. Demi sebuah persahabatan yang telah lama tersimpul, wajah seorang tua menjadi ceria kembali. Semangatnya untuk sihat lebih kuat daripada ubat yang dimakan...
...semoga cik bergembira bertemu sahabat -sahabat yang dirindui....dan semoga cepat sembuh.

Monday, November 7, 2011

Hadiah untuk kami ibu dan bapa ialah "SEORANG ANAK YANG SOLEH DAN SOLEHAH". by Cikgu Khaty Ali on Monday, 07 November 2011 at 23:12

Salam aidiladha. Raya yang penuh pengertian dan kaitannya dengan kehidupan seharian.Menonton televisyen, mendengar radio mahupun makalah-makalah sempena Raya Qurban ini membuat saya terpanggil untuk mencoret rasa dan berkongsi cerita. Sesuai dengan pengertian pengorbanan itu sendiri, maka cerita-cerita yang ditayang di kaca TV kebanyakan berkisar kepada kehidupan yang begitu sinonim dengan kita iaitu pengorbanan ibu bapa. Itulah peristiwa yang berlaku setiap hari, melingkari kehidupan kita siang dan malam. Pengorbanan dalam erti kata yang lebih besar, membabitkan kehidupan sebelum dan selepas mati, syurga dan neraka. Perjalanan kehidupan penuh dengan kasih sayang yang tidak ternilai sehingga sanggup berkorban apa sahaja.

Sehari sebelum menyambut Aidiladha, saya begitu teruja dengan sebuah kisah yang dibintangi oleh Eja sebagai ibu tunggal yang mempunyai anak yang begitu menghargai kasih ibu dan sanggup berkorban demi kebahagian dan memenuhi hasrat ibunya. Kisah trajis berakhir dengan kematian anaknya yang begitu baik, taat dan penyayang. Selalunya saya menonton kisah anak yang melupakan ibu bapa, anak yang derhaka dan seumpamnaya. Berlainan sekali kisah yang dipaparkan ini, satu kelainan yang berkesan dan kasih sayang yang dipaparkan bagai meresap ke seluruh jiwa dan naluri seorang ibu. Kasih sayang antara ibu dan anak serta pengorbanan antara mereka saling bersandaran dan begitu menyentuh.

Terbawa-bawa dengan kisah yang dibaca dan ditonton, sepanjang hari ini fikiran saya dipenuhi dengan idea-idea untuk dilontarkan di sini. Sebelum menjadi seorang ibu, memang kita tidak akan dapat menyelami sepenuhnya perasaan seorang ibu yang sebenar. Apatah lagi pada zaman remaja seperti saya dahulu, tidak banyak perkongsian pengalaman, motivasi dan saluran-saluran khidmat nasihat yang boleh kita gunakan dan cari seperti sekarang. Masih saya ingat dahulu, kalau dimarahi ibu, saya akan merasakan ibu tidak memahami saya. Kalau bersuara lebih pasti dikata melawan. Lalu. semua perasaan itu akan saya lontarkan pada sekeping kertas dan saya akan menangis sepuas-puasnya atau merajuk dengan mendiamkan diri di dalam bilik.Lebih utamakan perasaan sendiri, tidak pula memikirkan tergurisnya hati seorang ibu. Tetapi selepas itu, hati ibu saya sentuh semula dengan menyediakan makanan yang disukainya atau melakukan perkara-perkara yang disenanginya. Sebenarnya, kita tidak akan terfikir jauh seperti apa yang difikir oleh seorang ibul. Kita tidak ada rasa benar-benar bersalah terhadap marahnya ibu atau ayah sekiranya lewat balik ke rumah, tidak membantunya membuat kerja, tidak mendengar nasihatnya dan semua perkara yang tidak disenangi oleh mereka.

Segala teguran itu kita anggap leteran yang membosankan, marah mereka umpama satu kebencian yang dilontar, larangan mereka itu dan ini merupakan perkara yang meletihkan...kita hanya rasa kita sahaja yang kecil hati, kita sahaja yang hatinya tidak dijaga, kita rasa kita bagai tidak disayangi....dan itulah tanggapan anak-anak sejak dahulu hingga sekarang terhadap orang tuanya.

Kasih ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah rela berkorban nyawa...

Menjadi seorang ibu, sedikit demi sedikit saya mula merasai apa yang mungkin dirasai oleh ibu saya dan saya menjadi lebih memahaminya. Malangnya ketika saya benar-benar memahaminya, dan ingin berkongsi rasa perasaan suka duka seorang ibu, saya tidak berpeluang berbuat demikian. Ibu pergi sebelum sempat saya menghadiahkan cucu untuknya, yang boleh mencium pipinya, berbaring di atas pangkunya dan memanggilnya 'atuk'. Dan itulah yang saya inginkan, melihat anak-anak saya bermanja dengan atuknya sebagaimana anak-anak orang lain. Ingin sekali saya menunjukkan anak-anak saya yang begitu comel masa kecilnya, begitu petah bercakap dan manja. Ibu pergi sebelum saya sempat membawanya tinggal bersama kami, dan menikmati kebahagiaan dan kesenangan yang telah beliau sediakan sebelum saya dewasa. Ayah pula meninggalkan saya sejak saya berusia 9 tahun, dan saya sempat menerima belaian dan kasih sayangnya yang sangat manis.

Anak-anakku yang di rumah, yang sedang menuntut, yang bekerja dan yang berada di mana sahaja di luar sana;
Rupanya perasaan seorang ibu begitu besar dan tidak terbanding nilainya. Melalui pengalaman sebagai ibu yang hampir mencecah 21 tahun, membuat saya kadang-kadang terasa begitu rindu terhadap ibu saya yang sudah lama pergi. Nilai kasih ibu begitu besar. Di sini ingin saya titipkan tentang kasih sayang seorang ayah yang tidak terhitung harga pengorbanannya. Berselindung di sebalik ketegasan, di sebalik ego lelakinya, rupanya terselit sebuah perasaan halus yang begitu suci dan kudus. Walau disembunyikan tetapi orang yang faham bisa melihat itu. Sepi seorang ayah apabila anak-anak sudah besar dan terpaksa meninggalkan mereka untuk tuntutan ilmu dan pekerjaan, kadang-kadang tampak pada matanya. Kerinduan yang membelenggu dirinya . Sesekali terbayang pada wajah dan gerak lakunya atau pada tutur katanya. Ibu akan turut merasa itu. Pada waktu-waktu tertentu terutama hujung minggu atau lebih-lebih lagi pada hari raya, kepulangan anak-anak sentiasa dinanti. Ke mana pun kaki melangkah akan begitu terasa kalau anak tidak bersama. Sebut sahaja apa pinta anak, ayah terus sahaja menunaikannya tanpa banyak bicara .Keperluan anak diutama. Perasaan anak begitu dijaga. Menegur anak pun dikawal kata dan bahasa...Syahdunya kasih ayah....

Pada lewat usia seperti ini, yang entah berapa lama lagi mengecap nikmat dunia rupa-rupanya hati mudah terusik. Itulah yang selalu dicerita oleh kakak-kakak saya mahupun rakan sejawat. Teringat kata seorang sahabat yang juga seorang ayah...'kita tidak boleh terlalu ideal terhadap anak. Be rasional. Jika tidak kita akan kecewa dan sedih selalu. Terima mereka seadanya, dan berdoa.Isya-Allah.' Terkenang pula kata seorang ibu yang juga saudara rapat saya,...apabila anak sudah dewasa, belajar tinggi, bekerja dan berkeluarga sendiri, ibu bapa akan merasa terpencil. Sentiasa pula akan risau tentang keadaan hidupnya, terutama solatnya.' Mana tidak, siapakah yang akan mendoakan ibu bapanya apabila mereka tiada , jika tidak anak-anak yang soleh. ...sayu...adakah setelah ibu bapa tidak ada baru anak-anak akan mendoakan mereka? Seorang ibu atau ayah, sepanjang hayatnya tak putus berdoa untuk anak-anaknya. Tak pernah jemu walau bongkoknya sudah hampir menjejak bumi.

Begitulah kasih ibu bapa. Dalam kandungan, ibu membawa kita ke sana ke mari dengan bangga dan gembira. Kesukarannya semasa mengandung sehingga melahirkan, tidak dapat dibayang dengan kata. Lahir anak ke dunia, lain ragamnya.Anak menangis dipujuk. Makannya disuap. Mandinya disirami. Sakitnya bercekang mata.Tidurnya didodoi. Setiap hari diusap sayang, dicium manja. dari tapak kakinya selebar dua jari, hingga mereka mampu berdikari, kasihnya utuh dan kukuh. Bertahun-tahun sabar membesarkan anak. Sanggup berhutang, bergolok gadai. Apakah kita insaf tentang itu semua. Menjaga ibu sakit sehari, kita merungut. Menjenguk selalu kita tak mampu. mampukah kita menyuap nasi ke mulutnya setiap hari? Dapatkah kita memeluknya waktu mereka memerlukan sebagaimana mereka mendakap kita dahulu? Bolehkah kita memanjakan dan menyayangi mereka sebgaimana yang dilakukan oleh mereka terhadap kita...terbayarkah semua itu??? Lebih malang lagi mengapakah ada anak yang sangguip menyiksa sehingga membunuh ibu sendiri....subhanallah...

Besarnya pengorbanan ibu dan ayah. Kasih sayangnya ibarat air lautan yang tak pernah kering. Doanya menjadi payung kehidupan. Rindunya salju awan, putih dan bersih. Harapannya setinggi gunung. Di depan kita dihamparkan hijau kehidupan. Dan kita menikmati wangi cinta yang diciptanya. Bersyukurlah kerana kita punya ibu bapa. Sedaya mungkin, gembirakan mereka. Sebanyak mungkin sayangilah mereka, walau segalanya tidak dapat menandingi kasih yang diberi oleh mereka. Ketahuilah anak-anak...ibu bapa tidak mengharapkan balasan harta yang menggunung, atau duit yang melimpah atau rumah agam yang tersergam. Cukuplah secanggir kasih yang tulus buat dihirup saban hari selagi usia masih ada. Jika mereka tiada, lakukan yang terbaik untuk mereka ....doa kudus dan tulus...

Hadiah untuk kami ibu dan bapa ialah "SEORANG ANAK YANG SOLEH DAN SOLEHAH".

Terima kasih untuk anak-anakku yang terus mendoakan mama dan ayah. Kalian adalah yang terbaik untuk kami.
Salam .


7 Nov.2011/11 Zulhijjah 1432

Friday, November 4, 2011

sebuah nota untuk anak-anak T5

Hari ini tiba-tiba begitu sayu. Mengenggam erat tangan anak-anak didik, dan mendakapnya erat, hati menjadi tersentuh. " Doakan saya cikgu.....halalkan semua yang diajar dan maafkan semua kesalahan..."
Apa lagi yang dapat kubuat untuk kalian. Terasa masa bagai begitu pantas memisahkan kita dalam jelajah ilmu ini. Belum puas mencurah apa yang ada bagi memenuhi keperluan kalian untuk menghadapi peperiksaan besar.
Berjuanglah untuk kehidupan yang masih panjang perjalanannya. Doa restu daripada kami guru-guru tetap tak putus. Semoga kalian berjaya dengan cemelang dalam SPM nanti.
Semoga hubungan kasih kita di perbukitan ilmu ini akan terus hijau, sehijau pepohon yang mengindah di sekitarnya. Salam maju jaya.

Tuesday, November 1, 2011

ANALISIS SOALAN 1 : MERUMUSKAN KARANGAN
(KERTAS 2 )
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2011 NEGERI-NEGERI/SBP/MRSM/YIK

NEGERI
TUGASAN SOALAN
TEMA / KATA YANG SESUAI UNTUK PENDAHULUAN
JOHOR
peranan ibu bapa dalam mengatasi kemerosotan pencapaian akademik pelajar dan kepentingan pencapaian akademik bagi masa depan pelajar
tanggungjawab /tugas /kewajipan
KEDAH
kepentingan Klinik 1Malaysia dan cabaran dalam pelaksanaannya.
kebaikan /kelebihan /manfaat /faedah
KELANTAN
punca berlakunya tekanan mental dalam kalangan remaja dan langkah-langkah untuk mengatasinya
sebab /faktor
MELAKA
langkah-langkah meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam dan masalah-masalah perkhidmatan pengangkutan awam
usaha /pendekatan /kaedah /strategi /tindakan
NEGRI SEMBILAN
keistimewaan sejarah dalam kehidupan dan langkah-langkah meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran Sejarah.
kelebihan /kepentingan /faedah /kebaikan
PAHANG
usaha-usaha ke arah pelaksanaan Dasar 1Murid 1Sukan dan masalah yang dihadapi dalam pelaksanaan dasar tersebut
langkah /pendekatan /kaedah /strategi /tindakan /cara /modus operandi
PERAK
cara-cara mengelakkan individu daripada keracunan makanan dan kepentingan makanan yang bersih kepada keluarga
langkah /pendekatan /kaedah /strategi /tindakan /usaha /modus operandi
PERLIS
tanggungjawab remaja sebagai pengguna dan usaha-usaha memupuk kesedaran kepenggunaan dalam kalangan remaja
peranan/ tugas /kewajipan
PULAU PINANG
cara-cara berbelanja secara berhemat oleh golongan muda dan kekangan untuk menggalakkan mereka menabung
langkah /pendekatan /kaedah /strategi /tindakan /usaha
SABAH
kebaikan pokok putat dan cara-cara untuk memajukan industri tanaman herba
kelebihan /keistimewaan /faedah/ manfaat /kepentingan
SARAWAK
usaha-usaha untuk menangani masalah tekanan mental dalam kalangan pelajar dan kesan masalah mental kepada pelajar.
tindakan /pendekatan /kaedah /langkah /strategi /cara
SELANGOR
kepentingan bersarapan dan usaha-usaha untuk menggalakkan tabiat bersarapan dalam kalangan masyarkat
faedah /manfaat /kelebihan /kebaikan /keistimewaan
TERENGGANU
langkah-langkah yang telah diambil untuk mencegah pembalakan haram dan kepentingan mengekalkan kawasan hutan
pendekatan /kaedah /strategi /tindakan /cara /modus operandi
WP KL
ciri-ciri remaja yang berkualiti dan kesan-kesannya terhadap negara
sifat-sifat /potensi / keupayaan
SBP/SKLUS
kepentingan berekreasi dalam kalangan remaja dan kekangan yang dihadapi bagi melaksanakannya
kebaikan /kelebihan /keperluan /manfaat /faedah
MRSM
kepentingan mempelajari subjek Sejarah dan cara-cara menyuburkan minat pelajar terhadap subjek tersebut
kelebihan /keistimewaan /kemaslahatan /keperluan faedah / manfaat /kebaikan /kesan positif /mustahaknya
YIK
sebab-sebab remaja tidak mahu hidupnya dikongkong dan faedah-faedah jika dikawal oleh ibu bapa mereka
punca /faktor /alasan

sumbangan: cikgushuhaimi