Monday, February 27, 2017

Catatan Sebuah Keputusan

 (FASA 1) ...sore
     Akhirnya inilah keputusan yang kupilih untuk sebuah kehidupan. Penerusan untuk sebuah perjalanan ini memerlukan banyak pengorbanan. Pengorbanan paling utama bagi seorang manusia di dunia hari ini ialah ' WANG'. Keperluan kehidupan dari hujung rambut ke hujung kaki memerlukan wang. Mengecilkan keperluan dan mengurangkan berbelanja apa yang kita suka bukan sesuatu yang menyeronokkan. Itu ialah perhitungan dunia kehidupan maya yang kita lalui dan semua orang tidak boleh menolaknya dengan mengatakan tidak. Apatah lagi iklan berjenama di sana sini, di media cetak dan elektronik. Lebih terkesan lagi apabila kita mengharungi suasana kompleks beli belah...bergolak perasaan dengan godaan yang menjejaskan keteguhan pendirian.

     Akhirnya juga, aku memikirkan pengorbanan yang harus kubuat untuk sebuah lagi kebahagiaan yang tidak sepenuhnya kunikmati setelah berpuluh-puluh tahun bergelumang dengan dunia kerjaya. Lebih-lebih lagi kehidupan selepas matiku yang aku tidak pasti telah banyak mana saham telah kulabur untuk kehidupan selepas itu. Usia tak pasti panjang mana yang Allah akan pinjamkan. Dan aku menghitung semula masa lampau. Telah banyak rupanya nikmat dunia yang aku kecap dengan kehidupan sepanjang masa itu. Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah. Saat ini aku merasakan bahawa keputusan ini adalah kurniaan terbaik daripada-MU.

 
(FASA 2)..10.00 malam
     Lewat musim-musim yang kutinggalkan, kerinduan kadang mengetuk pintu hati. Anak-anak murid yang nakal mengusik kenangan kala sepi. Ada kemanjaan antara mereka sehingga berulang kenangan mengusik jiwa. Ada yang terpancr kesedihan di wajahnya sehingga aku tumpang mengalirkan air mata. Yang hebat melonjakkan nama sekolah sehingga aku teruja dan bangga. Semua kalian tinggalkan untukku adalah memori terindah sepanjang kehidupanku sebagai seorang pendidik.
Aku melihat kalian mengisi waktu remaja dengan pelbagai karenah dan ragam. Semua suka duka dan pahit rasa ketika kalian dewasa bersama waktu itu menjadi catatan pengalaman dan mendewasakan aku tentang erti kehidupan.

    Tika ini, aku cuba menyusur jalan kenangan. Meniti atas batas-batas usia yang kutinggalkan. Aku membuka lembar-lembar sejarahku seawal 1986 ketika aku mula mengenali dunia pendidikan. Minat dan cita-cita yang tertanam untuk membangun jiwa remaja menyebabkan aku menolak pekerjaan sebagai seorang pegawai bank. Dunia kehidupan menguji jiwaku sebagai seorang insan. Masihku ingat, di penghujung tahun1986 (hari itu hari Rabu); aku menerima panggilan telefon daripada IBBKM UKM Bangi atas tawaran untuk jawatan sebagai Penolong Pensyarah dan melanjutkan pelajaran dalam bidang Sarjana Kajian Bahasa Melayu. Hari Khamis aku bergegas ke UKM dengan hati berbelah bahagi sama ada untuk menerima atau tidak kerana tempoh yang diberikan sehingga hari Jumaat. Aku berjumpa dengan Profesor Dr Ismail untuk berbincang dan dimaklumkan program Sarjana saya adalah di bawah seliaan Dr. Abdul Rahman Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana. Aku ditunjukkan bilik tempat bertugas dan dimaklumkan bahawa aku akan membuat kajian bahasa dan budaya dalam kalangan orang asli di Pahang. Aku juga kena berada bersama mereka selama 3 bulan. Aku memohon daripada Dr Ismail untuk memberikan aku sedikit lagi masa untuk berfikir. Aku hanya diberi tempoh sehingga selepas solat Jumaat keesokannya kerana senate akan bersidang pada waktu itu dan penerimaan atau penolakan tawaran tersebut perlu dimaklumkan.

     Antara cita-cita, minat, tanggungjawab, belas ehsan, kasih sayang dan pengorbanan berbaur menjadi satu sehingga aku menjadi buntu. Aku meminta nasihat seorang sahabat yang sedang membuat sarjana dan menjadi pembantu pensyarah di Fakulti Ekonomi yang bernama Azman (al Fatihah untuk arwah dan isterinya Hendon. Mereka meninggal dalam kemalangan jalan raya di London dalam perjalanan dari airport semasa arwah mengambil isterinya yang akan tinggal bersamanya di sana untuk melanjutkan pelajaran). Arwah menyuruh aku menerima tawaran tersebut kerana itu adalah minat dan cita-citaku. Jauh di sudut hati, aku terlalu kasihan dengan ibu yang sekian kalinya akan kutinggalkan lagi tanpa berteman. Masihku ingat bagaimana sedihnya hatiku masa meninggalkan ibu sendirian ketika mula menjejakkan kaki ke UKM sehingga lahirlah dua buah sajak yang pernah keluar di majalah Bujal dan Bambino iaitu; "Seorang Tua di Pondok Usang" dan "Segulung Ijazah Buat Mama".

(FASA 3: Keputusan: Menerima atau menolak tawaran?....) - 28 Februari : 11.00 pg

     Idea kalau datang menerjah dan menerpa. Bukan kira waktu, tempat dan masa. Jika kubiar hilang begitu saja dan keunikan bahasanya juga turut tidak terjelma pada ketika idea itu kupaksa.

    Mentari yang mula merangkak semakin jauh dari kaki langit mengorak sama semangatku untuk menyambung kisahku. Komsis D UKM, Bangi menjadi tempat aku banyak melahirkan ilham dan bakat. Aku sering menghasilkan karya untuk majalah komsis ketika itu. Kenangan paling manis apabila aku diberi peluang sekitar tahun 1985 untuk mendeklamasikan sajak bersama Tokoh seni terkemuka Dr Zainon Ismail pada malam Gema Puisi Dato' Sir Onn Jaafar.

     Berbalik kepada tawaranku sebagai pembantu pensyarah, aku sering menjadi sebak apabila terkenang tentang hal tersebut.  Malam Jumaat itu aku betul-betul memohon kepada Allah untuk diberi petunjuk supaya tidak memilih jalan yang salah apabila membuat keputusan. Sebelum solat Jumaat, aku melangkah ke bilik Profesor Dr Ismail, dengan sebuah kenyakinan bahawa pilihanku adalah yang terbaik untuk diriku dan orang yang aku sayangi. Di hadapan Profesor aku jelaskan...aku perlu melakukan pengorbanan dengan melupakan cita-cita dan minat demi seorang ibu yang melahir dan membesarkan aku dengan penuh kasih sayang. Sepanjang empat tahun aku di kembara ilmu, ibuku mengharungi kehidupan siang malamnya dengan penyakit yang terpaksa ditanggungnya. Biarlah aku mengambil peluang ketika dia masih hidup untuk membalas budi dan jasanya walaupun tidak sebesar mana dan tidak terbanding dengan apa yang telah diberikan untukku.
Akhirnya... aku melangkah kembali ke kampung halaman untuk berada bersama ibuku yang semakin uzur. Moga Allah merestui segala yang aku lakukan dan memberkati perjalanan hidupku kelak.

    Aku kembali mengajar sebagai guru sandaran tidak terlatih di SM Tengku Mahmud Iskandar Sungai Mati, Muar yang jauhnya kira-kira 16 batu dari rumah. Mengenang detik itu... air mata pasti gugur. Walaupun hanya 3 bulan, tapi pengalaman yang aku lalui meninggalkan kesan yang mendalam di hatiku. Sebaik usai solat subuh aku mesti keluar dari rumah berjalan kaki ke pekan Pt Jawa untuk menumpang kereta seorang guru. !986, kawasan kampungku masih bersemak tebal. Ibuku hanya menghantarku dengan pandangan yang semakin mengecil apabila aku semakin jauh dari penglihatannya.  Jam 3.30 -4.00 pagi aku mesti bangun menyiapkan sarapan dan makan tengah hari untuk ibu kerana aku hanya akan sampai di rumah sekitar 3.30 -4.30 petang setiap hari.  Petang setelah menyiapkan ibu serta merawat tapak kakinya yang semakin teruk kerana terpijak 'filament' mentol lampu kalimantang ketika menebang pisang.

Orang dulu-dulu sering membuang kaca di pangkal pokok kan.

 Tapak kakinya berlubang sebsesar syiling 50 sen dan menanah.  Aku cuci setiap hari. Aku tampal dengan sejenis ubat yang dibeli dari kedai ubat Cina. Aku mohon untuk memberitahu abangku di Kuala Lumpur tapi ibu tidak mahu dibawa ke hospital. Terasa benar sukarnya ketika itu tanpa telefon.

     Paling menyedihkan dan paling belas di hati ini apabila suatu hari aku membuka ubat yang ditampal itu...subhanallah, terkejutnya aku. Bahagian yang luka itu sudah berulat. Aku menghubungi abangku dengan menggunaka telefon jiran belakang rumah untuk memberitahu supaya segera membawa ibu ke hospital. Sementara itu, aku keluarkan ulat-ulat itu dengan menyepitnya keluar. Air mataku tumpah...tapi aku sembunyikannya daripada ibu. Dengan siapa hendak kuadu. Kejauhan dengan adik beradik yang lain bukan mudah untuk dihubungi seperti hari ini.

    Alhamdulillah, dua hari kemudian, abangku Cik Lit, pulang untuk membawa ibu ke hospital Tawakkal Kuala Lumpur. Ibu diberi rawatan segera. Walaupun keadaan ekonomi abangku ketika itu tidak begitu menggembirakan, tetapi dia nekad untuk mendapatkan ibu rawatan yang terbaik. Harapan kami hanya pada Ngah dan Cik Abang yang lebih berkemampuan dari segi kewangan. Kami adik beradik yang lain menguruskan ikut kemampuan dan keupayaan masing-masing.  Akhirnya ibu kembali sihat walaupun masih ada sakit dalam perutnya yang kadang-kadang menganggu tidurnya.

     Hidup ini perlu disyukuri. Dugaan Allah juga harus disyukuri.

"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan saja mengatakan "Kami telah beriman " sedang  mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (Q.S. Al Ankabut : 29).   

    Sebenarnya apa yang kita rancang bukan semestinya terjadi seperti yang kita harapkan. Awal tahun 1987, aku menerima surat daripada Jabatan Pelajaran Johor Bahru. Aku ditawarkan jawatan Guru Sandaran Tidak Terlatih secara kontrak setahun ke setahun. Ketika itu aku dan ibu sedang menikmati hidangan tengah hari. Aku membacakan tawaran itu di hadapan ibu. Ketika itu tidak terlintas apa yang akan dirasai oleh ibu. Aku telah ditawarkan berkhidmat di SM Dato' Jaafar Johor Bahru bermula pada bulan Januari. Menitis air mata ibu. Ibu mengatakan bahawa akhirnya aku akan pergi juga meninggalkannya. Subhanallah. Walau bagaimanapun ibu mengizinkan aku, memandangkan Johor Bahru lebih mudah aku untuk menjengoknya berbanding kalau di Kuala Lumpur yang pada ketika itu kenderaan awam masih terhad. Apatah lagi pada masa itu, hubungan telekomunikasi sangat terhad. Kami pun bukan orang senang untuk memiliki kecanggihan teknologi yang sangat mahal ketika itu. Telefon pun menumpang rumah jiran.

     Ketika mengajar di Johor Bahru,hampir setiap khamis usai waktu persekolahan, aku akan kembali ke kampung melawat ibu. Memastikan keperluan dapurnya, ubat-ubatannya. Setiap hari ketika aku di perantauan jiranku yang juga ada pertalian persaudaraan akan memasakkan makanan untuk ibu. Pada zaman belajar dulu ada juga anak angkat ibu yang tinggal bersama ketika dia bekerja sebagai pembantu makmal di sekolah berhampiran. Alhamdulillah, walaupun aku berada jauh, ibu tidak keseorangan sangat kerana ada yang menemannya. Pernah juga abang menggajikan orang dari seberang untuk menjaga ibu ketika ibu sakit.  Cuma selepas aku tamat belajar, anak angkat ibu mengikut suami, anak saudaraku yang dibela oleh ibu bersekolah di selangor mengikut keluarganya dan pembantu rumah telah tamat perkhidmatannya.

    1987, aku bertemu jodoh dengan seorang guru di sekolah tempatku mengajar. Alhamdulillah, selepas berkahwin ibu menetap bersamaku sekejap. Tetapi bila aku ditawarkan untuk membuat KPLI di Institut Bahasa Kuala Lumpur, ibu kembali semula ke kampung. Aku mencarikan orang untuk menemani ibu dan sekiranya aku tidak dapat balik suamiku akan menjenguk ibu. !989 juga, kesihatan ibu tidak begitu mengizinkan. Ibu sering sakit. Cuti panjang memang aku dan suami akan di kampung menjaga ibu. Sekitar bulan September 1989, aku mendapat berita mengejut apabila pihak Institut Bahasa membuat pengumuman untuk aku segera balik ke kampung kerana ibu sedang tenat. Hanya seminggu sahaja lagi menjelang peperiksaan akhir kursus diploma Pendidikanku. Kakakku yang menetap di Sabah juga balik ke kampung. Kami adik beradik berkumpul. Tidak sampai tiga hari selepas itu, ibuku pergi buat selama-lamanya. Al-Fatihah buat ibuku, semoga ibu tenang di sana dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh bersama ayah yang telah pergi sejak usiaku 9 tahun.


FASA 4...Alam Kampus ( 11.40 malam; 28 Februari)

      Aku menjejakkan kaki ke menara gading untuk  sesi 1983/84. Universiti Kebangsaan Malaysia yang tersergam indah, akhirnya dapat ku jejaki. Aku untuk mengikuti Kursus Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian (BA Hon) selama 4 tahun. Tiga bidang utama yang perlu aku ikuti iaitu Antropologi dan Sosiologi, Sains Politik dan Persuratan Melayu. Tahun pertama aku ditempatkan di Komsis C dan teman sebilikku bernama Rohani berasal dari Kelantan. Beliau seorang guru. Pernah sekali terjumpa beliau sekitar tahun 1990an ketika ada seminar di Kuala Lumpur.

   Tahun kedua teman sebilikku ialah Noraini Othman yang berasal dari Taiping Perak. Kami sangat rapat kerana sama-sama menyertai Artis Sukma UKM. Kami banyak membuat persembahan tarian dan memperagakan pakaian tradisional di sekitar Kuala Lumpur dan di antaranya di Sg Wang Plaza.
Kami pernah membuat persembahan tarian Gamelan di Lumut Perak. Kenangan paling indah pasukan kami terpilih  menyertai Program Pertukaran Budaya Indonesia-Malaysia. Rombongan kami diketuai oleh  YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

   Kami menjelajah ke seluruh Pulau Jawa, bermua dari Jakarta, Yogyakarta, Bandung, Malang dan Bali. Kami melawat beberapa buah antaranya, Universitas Brahmawijaya dan Universitas Gajah Mada. Persembahan taridra kami di Kedutaan Malaysia di sana mendapat sambutan. Aku membawa peranan seekor burung merak yang terbang mencari putera raja . Selain itu kami  berpeluang melawat Candi Borobudur diYogyakarta, memetik epal, menunggang kuda dan   melawat Gunung Berapi di Bandung.  Masihku ingat, di Bandung aku dan beberapa orang rakan terpaksa mendapat rawatan di klinik kerana kena cirit birit.
   Kami menaiki bas mengelilingi Pulau Jawa selama tiga minggu. Banyak pengalaman dan pengetahuan tentang budaya dan adat resam dipelajari. Batik dan beg tangan daripada kulit lembu sangat terkenal dan murah di sana. Rata-rata penduduk mereka di luar bandar hidup susah.  Di Bali pula masyarakatnya banyak dipengaruhi dengan adat Hindu. Kecak Dance  merupakan sebuah tarian tradisi Bali yang sangat popular dan menjadi tarikan utama bagi mereka yang mengunjungi Bali.

Tarian Kecak adalah pertunjukan tarian seni khas Bali yang lebih utama menceritakan mengenai Ramayana dan dimainkan terutama oleh laki-laki. Tarian ini dipertunjukkan oleh banyak (puluhan atau lebih) penari laki-laki yang duduk berbaris melingkar dan dengan irama tertentu menyerukan "cak" dan mengangkat kedua lengan, menggambarkan kisah Ramayana saat barisan kera membantu Rama melawan Rahwana. Namun, Kecak berasal dari ritual sanghyang, yaitu tradisi tarian yang penarinya akan berada pada kondisi tidak sadar, melakukan komunikasi dengan Tuhan atau roh para leluhur dan kemudian menyampaikan harapan-harapannya kepada masyarakat.
Para penari yang duduk melingkar tersebut mengenakan kain kotak-kotak seperti papan catur melingkari pinggang mereka. Selain para penari itu, ada pula para penari lain yang memerankan tokoh-tokoh Ramayana seperti Rama, Shinta, Rahwana, Hanoman, dan Sugriwa.
Lagu tari Kecak diambil dari ritual tarian sanghyang. Selain itu, tidak digunakan alat musik. Hanya digunakan kincringan yang dikenakan pada kaki penari yang memerankan tokoh-tokoh Ramayana.
Sekitar tahun 1930-an Wayan Limbak bekerja sama dengan pelukis Jerman Walter Spies menciptakan tari Kecak berdasarkan tradisi Sanghyang dan bagian-bagian kisah Ramayana. Wayan Limbak memopulerkan tari ini saat berkeliling dunia bersama rombongan penari Bali-nya.



    Rombongan kami bukan sahaja terdiri daripada mahasiswa tetapi juga staf di Fakulti Persuratan Melayu dan Sejarah. Antara mereka yang masihku ingat; Noraini Othman, Nor Aini, Asmah, Zakaria, Rony dan dua tiga orang lagi yang sangat kuingat rupanya tetapi namanya tidak dapat kuingat. Walau di mana kalian berada, aku tetap mendoakan kesejahteraanmu.

   Ketika berada di alam kampus memang menyeronokkan. Pergi kuliah walaupun berjalan jauh, kami berasa seronok. Berlagak dengan pelbagai fesyen baju, sambil mengepit fail yang menjadi identiti utama mahasiswa, menyebabkan aku rasa bangga. Apatah lagi ketika itu bukan ramaipun orang kampungku yang dapat ke universiti. Tapi pesan ibu tetap bertahta di hati. Dewan kuliah yang besar, dewan diskusi semuanya tergambar jelas di ingatan. Yang paling tidak suka apabila terpaksa mengambil subjek FE atau FZ daripada Fakulti Pengajian Islam. Satu Dewan besar memang penuh.
Ada satu peristiwa, aku terlewat ke dewan kuliah, Bilik yang biasa digunakan ditukar. Aku tidak pasti yang mana satu pintu depan dan belakang. Dengan penuh kenyakinan aku membuka pintu yang besar dan berat itu dan melangkah masuk.

    Ya, Allah... Ratusan mata memandangku termasuk pensyarahnya. Aku mohon maaf dan semasa bergerak ke tempat duduk...mereka bertepuk tangan. Jahatnya mereka...geramnya...mesti ada geng nakal yang kukenal mengenakan aku. Tapi aku buat muka selamba, sambil lambaikan tangan...dalam hati Allah je tahu. Malu yang amat sangat.

     Subjek Sains Politik sering menakutkan. Paling kutakut subjek yang diajar oleh Mr Ramasamy. Garang ya amat. Hobinya mengemukan soalan...Kami memang seram nak tengok ke arahnya...nanti mesti kena soal. Kalau tak bersedia, dan disoal tak boleh jawab siap mulutnya pot pet pot pet...Dengan saiz badannya yang tinggi besar, aku terasa kerdil benar berada di sebelahnya. Pensyarah yang sangat kuingat dan agak tegas dan menyeramkan iala En.Ali. Kebanyakan buku rujukan telah dihafal isi kandungannya. Waktu tutorial mesti bersedia sungguh. Kalau kita menjawab soalannya; beliau akan tanya, warna kulit buku dan muka surat perkara yang kita petik.
   

     Hari ini tanggal 23 Disember 2017...
       Sekian lama aku tinggalkan ruang ini, baru ada gerak hati untuk membukanya kembali. Sejak Februari, ruang ini dan cerita ini bagai terbiar sepi. Banyak perkara telah berlaku dan yang paling menggembirakanku ialah, aku telah dapat menjejaki sahabat-sahabat yang belajar bersamaku di UKM dalam jurusan Sains Politik. Subhanallah, ada yang sudah bergelar Dato' dan mempunyai pangkat dan jawatan yang hebat-hebat. Tidak kurang yang sudah bersara sepertiku. Maha suci Allah yang telah mencipta perjalanan kehidupan yang begitu indah dan aku sangat mensyukurinya.


     Berbalik kepada kenanganku di kampus, beberapa peristiwa yang tidak dapat aku lupakan bersama rakan Sains Politik ialah lawatan kami ke Kem Tahanan Taiping, menyertai Program Keluarga Angkat di Rantau Panjang dan Lawatan ke Terengganu. Kami disertai juga oleh rakan-rakan daripada Jabatan Pengajian Melayu dan juga Komunikasi kalau tak silap. Antara mereka yang kekal dalam ingatan, sahabat baikku sehingga kini, Mahnon, Syam, Hamsiah, Azman(arwah), Ibrahim, Roslan, Rosina, Salmiah, Nik dan Marinah. Masihku ingat juga Nung, CT Hajar, Suraidah, Mutalib, Arjunaidi dan isteri Zaida. Nama mereka kini sudah tersenarai dalam telefon bimbitku. Sejak terpisah pada tahun 1986, Tahun 2017 mencatat sejarah walaupun ada yang belum bersua wajah. 31 tahun...cepatnya masa berlalu. Kami kini sedang menyusur waktu-waktu senja dengan kehidupan masing-masing. Majlis Graduasi 1986, meninggalkan pelbagai kenangan yang mewarnai  kehidupan kampus yang aku sayangi.



      Tidak ketinggalan kegembiraan yang inginku kongsikan, aku telah berjaya menjejaki teman sebilikku pada tahun pertama iaitu Cikgu Nooraini Osman yang kini mengajar di SMK Seksyen 9 Shah Alam. Puas aku mencarinya di FB, akhirnya aku berjaya menjejakinya melalui seorang kenalannya di FB, dan anak beliau juga memberi respon tetapi agak terlewat. Di hujung jari kita mencari, di ruang maya kita bertemu.



        Untuk semua rakan sekuliah yang kuingat nama dan wajah, atau yang samar-samar dalam ingatan, semoga persahabatan kekal hingga ke jannah. Kini kami saling bertukar bicara, berkongsi cerita dan nasihat, malah sudah ada yang saling berkunjung...alhamdulillah.


     

       FASA 5 - Dunia Pendididkan.

      Oktober 1989, aku tamat Kursus Perguruan Lepasan Ijazah di Institut Bahasa.  Grup kami merupakan  grup  pertama yang mengikuti kursus ini bagi lepasan Ijazah dalam negeri. Sebelum ini hanya terbuka untuk lepasan ijazah dari luar negara sahaja. Bilangan kami kecil hanya seramai 150 orang sahaja. Masihku ingat nama beberapa orang pelatih yang seangkatan denganku, antaranya; Zubidah, Syed, Baiha, Zarina , Abdul Basyid dan Sabariah (telah meninggal kemalangan; al Fatihah untuk arwah). Ada di antara mereka kini sudah menjawat jawatan pengetua. Kini kami disatukan dalam dunia siber "IB KPLI 89" Subhanallah.

      Pada tanggal 4 Disember 1989, aku ditawarkan menjawat jawatan sebagai Guru Terlatih di SM Aminuddin Baki Johor Bahru. Aku mengajar subjek Bahasa Melayu T6 , Pengajian AM serta Sastera T4. Cabaran sungguh terutama Pengajian Am yang perlu banyak membaca dan banyak menanda. Bahasa Melayu T6 pula ada subjek sastera...Hikayat Sejarah Melayu. Aku seperti biasa aktif dengan kelab seni tari dan drama serta sering menjadi pengacara majlis.

      Sebagai pengacara majlis, aku mengutip banyak pengalaman dan dapat bertemu dengan pelbagai pangkat dan jawatan manusia serta dengan ragamnya.  Pengalaman menarik ketika menjadi pengacara bantuan Hari Guru Peringkat Kebangsaan, pengacara Sukan Peringkat Kebangsaan, Pengacara Acara Renang Sukan SEA di Johor Bahru dan majlis-majlis rasmi sekolah dan jabatan. Di Sekolah Menengah Aminuddin Baki juga aku dilantik oleh pengetua sebagai Setiausaha Koperasi. Pengalaman selama 6 tahun menjadikan aku seorang yang begitu berminat dengan dunia perniagaan.

(To be continue...)










 


Monday, December 5, 2016

Pantun Hati Rawan


belayar ke hujung tanjung
mudik ke hulu beli berangan
budi kalian rasa nak junjung
berbunga di hati menjadi kenangan.

Berarak ke barat si mega mendung
gerimis petang membasahi bumi
rasa sedih tak mampu dibendung
hiba terbawa ke dalam mimpi.

Burung merpati terbang sekawan
hinggap mari di pohon mati
saat berpisah hatiku rawan
pilu menusuk ke dalam hati.

Cincin emas batu permata
permata nilam jadi idaman
Pabila jauh utuslah kata
bingkiskan rindu di balik awan.



Cikgu Khaty
5 Disember 2016










Sunday, April 10, 2016

AKU ORANG BIASA

Aku orang biasa
Tak punya apa-apa
Sekadar berkongsi cerita
Tentang kehidupan dunia fana.

Yang baik contohilah
Yang buruk jauhilah
Yang elok teladanilah
Yang janggal abaikanlah.

Kalau silap tegur-tegurkan
Kalau salah betul-betulkan
Kalau tak tahu ajar-ajarkan
Kalau lupa ingat-ingatkan
Kerana aku insan biasa
Tiada punya apa-apa
Sering silap sering lupa
Kadang buat orang terluka.

Aku orang biasa
Miskin tidak kaya pun kurang
Budi bahasa sekadar cuma
Hebat tidak tokoh pun bukan
Mencari keberkatan
di bumi Allah.

(CIKGU KHATY
10 April 2016)