Telah lama aku tidak menonton teater. Seingat aku, terakhir menontonnya ketika di universiti dahulu, iaitu teater 'patung-patung'. Kaetika orang sibuk bercerita pasal Natrah, setelah kematiannya lewat pertengahan tahun ini, kisah tu samar-samar sahaja di fikiranku. Tetapi entah kenapa, apabila teater ini dipentaskan di Istana Budaya yang bertaraf antarabangsa ini, aku terpanggil untuk menyaksikannya. Aku mula bertanya di sana sini, terutama suamiku tentang Natrah ini. Bagi mereka yang menonton khabarnya hebat sekali, malah ada yang sudah menyaksikannya lebih sekali. Sebaik sahaja selepas Hari Raya Qurban baru ini, aku terus menyuruh anak lelakiku booking secara'online'...Sayang...fully booked. Yang ada ada pun jaun dari pentas. Rasa hampa membaluti hatiku.
Berita Tv malam keesokan harinya, melonjakkan kembali semangatku untuk menonton Natrah. Persembahan Teater Natrah dilanjutkan sehingga 13 Disember. Kami anak beranak segera mengadap skren komputer, untuk booking. Tempat di bahagian bawah semua dah penuh. Akhirnya kami booking tempat yang agak selesa, walaupun tidak akan puas menatap wajah pelakonnya. Dengan harga satu kepala RM70.00 kami terus membuat tempahan untuk 4 orang. Anak-anakku mendapat harga student RM59.00 seorang. Esoknya(Ahad) suamiku ke KLCC untuk membuat bayaran di Triways Travel, walaupun dia tidak berminat (tempatnya diganti dengan anak saudaraku).
12 Disember 2009, buat kali kedua aku masuk keIstana Budaya (sekali masa persembahan Siti Nuthaliza - SATU). Jalan agak sesak, ditambah dengan kerenah anak-anakku yang perlu didesak untuk cepat, kami sampai 10 minit lagi sebelum pementasan bermula. Dan dengan penuh kosentrasi, kami menyaksikan NATRAH.
Hebat!...Best!!..itu yang dapat aku katakan sebaik shaja selesai menyaksikan teater hasil buah tangan Erma Fatimah ini. Tahniah dan syabas untuknya. Idea kreatifnya, kegigihan usahanya, kesungguhan dalam mempamerkan watak dan backdrop serta propnya, dengan muzik dan nyanyian berkisahnya...semuanya diadun dalam suatu persembahan yang sangat unik, menyentuh dan mempunyai nilai estetika yang tinggi.
Pulang dari menyaksikan NATRAH, jiwa seniku bagai terbangun. Kenangan ketika berteater di sekolah dan di universiti, silih berganti. Menyusuri lewat waktu itu, betapa jauh masa telah berlalu. Teater kita sudah semakin ke depan. Kalau dulu, hanya ditonton oleh golongan elit, kerana generasi muda atau masyarakat biasa tidak faham dengan idea yang dipersembhkan dalam teater. Kecanggihan teknologi, kepakaran yang meluas dapat diperoleh turut menyumbang ke arah perkembangan dunia teater di negara ini. Seperti yang kusaksikan semalam, ramai golongan muda yang datang untuk menyaksikannya. Aku tidak pasti sama ada mereka ingin mengetahui kisah NATRAH atau ingin berjumpa dengan artis-srtis kesayangan mereka. Anak lelakiku agak gelisah, sehingga sedikit menganggu kosentrasi sepupunya. Katanya, kata-kata NATRAH ketika usia 70 tahun yang menjadi pembuka tirai teater,Sukar difaham. Berbeza dengan kakaknya yang lebih berjiwa seni, dan menjadikan teater NATRAH sebagai panduan untuknya, yang akan terlibat dengan teater 'Sumayyah' di kolejnya hujung bulan ini.
Aku kini menghalusi kisah Natrah melalui sebuah buku hasil tulisan dan usaha Penulis Fatini yang kubeli dengan nilai RM90.00 dan ditanda tangani oleh penulisnya sendiri sempat kutemui (ketika membeli buku di foyer Istana Budaya) dan ditanda tangani juga pelakon-pelakon utama NATRAH yang sempat ditemui oleh anak perempuanku ketika sesi itu dibuka untuk orang ramai.
NATRAH, membawa sebuah episod luka kehidupan, krisis yang melibatkan politik, maruah agama, bangsa dan negara. Kita hanya berasa sedih dengan kehilangan seorang NATRAH. Di luar sana entah berapa ramai lagi NATRAH, yang hilang segala-segalanya kerana dibelenggu penjajah terhadap kehidupanya, fikiranya, percakapannya. Kita telah hilang satu NATRAH, yang datang dari luar kelompok budaya dan agama dan diangkat menjadi NATRAH. Tetapi berapa ramai NATRAH di luar sana yang semakin hilang budaya, agama dan Melayunya disebabkan terjajah oleh ideologi barat yang meresap hampir ke seluruh kehidupan kita dewasa ini.
KERANA NATRAH, jiwa pendidikku bagai terbangun untuk terus menyumbang bakti membantu anak-anak didikku yang semakin hilang hala tujunya, yang semakin nipis ketebalan imannya dan semakin goya pegangan hidupnya.
Cikgu Khaty
13 Disember 2009