Sunday, January 31, 2010

Pantun Budi : (Gaya Bahasa)/Unsur Keindahan

1. Penggunaan kata yang indah dan puitis.
Contoh: Resam di dunia juga disebut
Budi sedikit bila kan hilang

2. Unsur Simile
Contoh: kasih tuan saya terima,
Sebagai hutang seribu tahun
3. Repitisi
Contoh:Terang bulan terang di paya
4. Unsur Bunyi
i. asonansi - Pengulangan bunyi vokal(a,e,i,o,u)
Contoh; Jika tak kenang kepada saya (Vokal a diulang sebanyak 7 kali)
ii. aliterasi - Pengulangan bunyi konsonan ( Selain bunyi vokal)
Contoh: Jika tak kenang kepada saya (Konsonan k diulang sebanyak 4 kali)

Tuesday, January 26, 2010

Dari Sebuah Jendela

Dari Jendela separuh terbuka
aku mengintai seorang nenek muda
dengan lenggok dan lenggang senyumnya
terpancar suatu sinar
cahayanya menerjah keluar
dan aku tersuluh oleh cahaya itu.

Betapa sebuah kehidupan
penuh nikmat dan hikmah tercurah
dan aku menyaksikan
dalam sebuah perjalanan yang agak singkat
tapi menyentuh setiap rongga hati
mengagumi dan menghargai
setiap yang boleh dikongsi.

Hari ini nenek muda mendapat gelarannya
tarikh lahir cukup bermakna
hari ini dalam pelukannya
sebuah anugerah dari Maha Kuasa
yang bukan kebetulan tapi suratan
yang tertulis dalam lipatannya sejarahnya
dan jendela tiba-tiba terbuka
aku dapat melihat tawa riangnya
memecah setiap ruang.

Dari Jendela separuh terbuka
aku melhat seorang nenek muda
sedang menyusun bunga-bunga kasih sayang
wanginya terhidu ke luar jendela
moga bunga-bunga itu tidak layu
wajahnya berseri bagai tidak dimamah usia
kerana itulah kehidupan
yang tumbuh dari ketulusan
yang subur dengan kesabaran
yang rimbun dengan kecintaan
pada-NYA suatu kesimpulan.

Dirgahayu sahabatku
kutitipkan bersama doa
Rahmat Allah melimpah kurnia.


Sebuah Nukilan;

Cikgu Khaty (26 Januari 2010)

Tuesday, January 19, 2010

ANTOLOGI HARGA REMAJA

Pantun Empat Kerat (Budi)

Rangkap pertama
memberi ingatan kepada kita bahawa kita hendaklah mengenang orang yang telah berbuat baik atau berbudi kepada kita.

Rangkap kedua: Sudah menjadi resam atau lumrah kehidupan di dunia ini bahawa sekiranya kita berbuat baik ataupun sebaliknya, nama kita tetap akan menjadi sebutan walaupun kita telah tiada lagi di dunia ini.

Rangkap ketiga: Walaupun sedikit budi yang ditabur, orang akan sentiasa mengingati dan menghargainya.

Rangkap keempat:Apabila budi diterima dari seseorang, kasih sayang yang terjalin dianggap sebagai hutang yang tidak dapat dibayar sepanjang hayat/selama-lamanya.

Friday, January 1, 2010

Di Jendela 2010

Berlabuh sudah tirai 2009
2010 mengintai di jendela pagi,
berwajah ceria melebar sayap ke bumi
warna-warna kehidupan baru
disambut oleh tangan-tangan anak bangsa
yang sudah lengkap dengan senjata kehidupan
untuk meneroka rimba dan samudera
yang semakin ganas dan berbahaya.

Kelopak 2010 terbuka satu demi satu
yang malamnya sudah ditanda dengan gerhana bulan
kita pun sujud memohon kekuatan
untuk membawa obor baru menerjahkan cahaya gulita
kelopak baru kemilau dengan mentari
terserlahlah warna-warna kegemilangan
mendahului langkah dalam perjalanan.

Telah kukuburkan
segala kisah yang merobek rasa
telah aku padamkan
goresan luka yang pedih di hati
telah aku baja
pohon-pohon hati yang layu dan gersang
supaya tumbuh daun-daun hijau melebar
2010 menjadi syahdu dan damai.

Hari ini
aku bangkit dengan satu tekad
pohon kehidupan ini
akan subur menghijau
dan berbuahkan cinta dan kasih sayang
yang tak mengenal musiam

Cikgu Khaty
1 Januari 2010