Tuesday, June 15, 2010

Betapa indah zaman kanak-kanakku....

Kehidupan yang kulalui sudahpun setengah abad. Telah jauh rupanya aku berjalan menyusuri batu-batuan, rumput rampai mahupun hutan rimba. Juga kekadang merempuh awan dan merentas lautan. Sepanjang perjalanan ini, banyak ranjau duri yang dilalui,...alhamdulillah dengan kekutan yang Allah beri, duri dan onak mampu kucabut pabila menembusi jari. Menghitung hari yang telah kutinggalkan, aku menyikat kembali hari-hari semalam, menyusun dan mengaturnya mengikut waktu yang berlalu, walau ada yang kabur atau terputus kisahnya di sana sini.
Dari kehidupan kanak-kanak di sebuah desa yang dulunya terpencil, aku membesar bersama rimbunan pohon hijau, mengenal buah durian dan manggis, duku dan pulasan. Parit di hdapan rumpah yang airnya begitu jernih, ialah tempat mainanku di kala petang. Zaman kanak-kanak kami penuh dengan kegembiraan, ...aku ramai teman sebaya, sama-sam bermain teng-teng, bermain galah panjang, sembunyi ibu, bermain pondok-pondok, malah bermain 'guli' dan 'getah'(mainan budak lelaki) juga aku turuti. Kalau hujan lebat, kami berlari di bawah curahan hujan sambil menjerit-jerit keriangan.
Suatu kisah yang tak akan luput dari kenangan ini, iaitu ketika umurku sekitar 5/6 tahun, aku dimarahi oleh seorang tua di kampung itu kerana bermain parit. Ketika itu rumahku ramai tetamu kerana ada majlis khatan abangku (kini Tan Sri ). Kerana takut, aku lontar orang tua itu dengan bekas bedak cutticura yang sudah kuisi dengan air, dan pantas aku berlari naik ke rumah. Kenakalanku tidak terhenti di situ. Setelah mandi dan bertukar baju, aku menyelongkar pula bakul pandan bekas alat jahitan emakku. Entah apa yang aku jahit, tidak pula kuingat, tapi yang pasti aku menggigit benang untuk diputuskan. Malangnya, entah macam mana "jarum tersengkang di antara lelanggit dan bawah lidahku. Aku menjerit dan menangis, tapi butir perkataan tidak dapat kuluahkan. Mujur ketika itu abang udaku ( telah kembali ke rahmatullah pada 4 Mac 2010), ada tidak jauh dari bilik emakku dan dia berjaya mengeluarkan jarum tersebut. Hingga kini kalau kubayangkan...ngerinya. Kira hebat abang udaku! Fatihah untuknya.
Menyingkap kembali tentang rumahku dulu, memang unik. Rumah kami ada 'verandah'yang menghadap jalan merah dan sebatang parit yang mempunyai air yang jernih dan terdapat banyak ikan seperti seluang, betuk dan haruan. Rumah kami tidak ada letrik, hanya lampu gas yang perlu diisi 'spirit'?? dan dipam untuk beberapa minit untuk mendapatkan cahaya yang putih dan terang. Dapur kami, dapur kayu, yang perlu ditiup apinya ketika memasak.Di belakang, terdapat sebuah 'pelantar'dan di situlah terletaknya bilik mandi dan tempat mencuci pinggan mangkuk. Pelantar kami tidak ada bumbung dan menghadap hutan kecil. Pokok labu air yang sering berbuah lebat, jelas kelihatan dari situ. Kalau malam aku tidak berani ke pelantar seorang diri, kerana burung 'jampuk' atau burung hantu yang bermata besar itu sering menenggek di pohon belakang pelantar itu.Melihat matanya sahaja, bagai terbang semangat dibuatnya. Kalau bulan mengambang penuih, cahaya samar-samar jatuh di pelantar itu. Di bawah pelantar ada parit kecil untuk mengalirkan air yang kami gunakan untuk mandian dan mencuci. Pokok lada, terung, bende dan lain-lain, subur di situ. Ayam jantan yang mempunyai taji yang tajam sering kelihatan berlegar di kawasan itu mengais makanan. Kejaguhan ayam ini, memang ketara. Pantang diusik, bukan main garang lagi, dan aku pernah menjadi mangsanya. Sehingga kini masih ada lagi bekas tikaman tajinya di pergelangan kiriku. Manisnya kenangan...indahnya pengalaman.
Ketika aku memasuki darjah satu, kami berpindah rumah di seberang parit sahaja, rumah yang baru dah lebih selesa. Tidak ada lagi pelantar.Tidak ada lagi 'verandah'. Bilik air ada di dalam rumah. Letrik sudah
ada.Pada awalnya, kami tidak mampu beli TV. Kami sering menumpang untuk menonton'cerita Melayu' terutama cerita P.Ramlee di rumah jiran di belakang rumahku (Rumah arwah Pak Hj.Deraman- yang agak garang orangnya), atau di rumah arwah Busu yang terletak berhampiran jalan tar (kira-kira 5 minit berjalan kaki). Ketika itu TV hitam putih.Emak lebih senang menonton di rumah arwah Busu. Biasanya tayangan cerita Melayu pada waktu malam. Kami bertemankan lampu suluh akan bergegas ke sana sebaik sahaja waktu tayangan hampir bermula. Balik dari menonton, emak akan mengajak aku menyuluh pokok-pokok rosnya, yang berbunga mekar, untuk membunuh kumbang-kumbang yang suka menghisap madu di situ. Waktu itu aku sungguh teruja...Sesekali kami pergi juga menonton wayang percuma secara terbuka yang ditayang melalui kain putih yang direntang di padang sekolah. Kami boleh duduk di mana-mana sahaja, sambil membawa makanan. Berjalan kaki dari rumah lebih kurang 15 minit, tapi kami seronok sebab pergi beramai-ramai. Beberapa hari sebelum tayangan, sebuah van akan lalu di kawasan kampung kami untuk mengumumkan cerita yang bakal ditayangkan.Begitulah orang dahulu, mendapatkan hiburan.
Zaman kanak-kanakku tida ketakutan. Kami boleh berbasikal ke sana ke mari. Berjalan kaki ke sana ke mari. Tidak ada kisah-kisah yang menakutkan seperti hari ini sehingga anak-anak terpaksa di kurung dalam rumah, terpaksa dihantar ke sana ke mari. Semuanya damai dan harmoni, tenang dan menyeronokkan. Zaman kanak-kanak kami terbangun secara kronologi. Kami membesar dengan penuh peristiwa dan pengalaman. Semuanya masih tersimpan kemas dalam diari hidupku.
Terkenang kembali zaman kanak-kanakku,...betapa aku rindu semua itu. Anak-anakku juga sudah remaja dan yang sulung sedang melangkah ke usia 20 tahun. Walaupun kami sering balik ke kampung, tapi rumah lamaku sudah tidak ada lagi dan sudah diganti dengan rumah banglo yang kini didiami oleh kakakku. Sebelum rumhku dirobohkan, anak-anakku ketika itu masih kecil dan usianya sekitar satu hingga tiga tahun. Sungguhpun begitu suasana kampung masih dikekalkan. Dusun buah-buahan, pisang, kelapa dan lain-lain masih mengelilingi kawasan tempat tinggal kami. Cuma aktiviti sudah berubah, mengikut selera generasi kini dan aliran pembangunan yang serba canggih dan moden.