Lama rasanya tidak menulis. Walaupun rindu bertaut datang, tetapi kekangan masa menjadi penghalang. Banyak perkara yang berlaku terbiar dalam kotak fikiran. Sayangnya tak semua mampu diingat dengan usia lewat sebegini. Esok, lusa, tulat, kenangan-kenangan itu makin menipis dan samar-samar. Akanku cuba mencoret semana mampu, selembar demi selembar kisah yang berlalu dengan masa yang sedikit terluang dan tekanan mula mengurang. Bukan bermakna kerja berkurang, tetapi dengan kemurahan hati dan ringan tulang serta kepintaran anak-anak buah unit, semuanya menjadi ringan dan menyenangkan.
26 Mei-28 Mei, mencatat kenangan manis yang sukar dilupakan.
Masihkah kau ingat
kita berlari-lari
di kaki langit
mencari pelangi....
Itulah antara lagu penutup tirai yang begitu melekat di ingatan. Kem Mahmod Pasir Mas Kelantan, mencatat sejarah untuk kami warga SMK Taman Setiawangsa. Kami berkampung selama 3 hari 2 malam di sana mengikuti kursus BTN anjuran BTN Putrajaya. Walaupun langkah pertama di situ menimbulkan pelbagai kontrovesi, tetapi langkah pulang penuh misi.
Kumpulan 8: kalian terpahat dalam hati. Adik-adikku yang terdiri daripada Mahathir (ketua kumpulan), Ustaz Fatahur Rahman, Normah Mispar, Shamsinar,Fazanaton, Latifah, khairuni,Yuslina , Normami dan Kak Ani (bagai kakak sulong). Keakraban begitu terasa. Bekerja dan ketawa bersama, makan semeja, duduk sekumpulan. Saling memuji dan menghargai. Semoga kumpulan ini tidak terkubur di kem Mahmod Pasir Mas, tetapi terus kukuh ukhwahnya di Setiawangsa.
"Dom mate"...Kak Sa, Datin Hasnah, Kak Ani, Fatimah, Rokiah Rohana, Zafinas, Fazanaton, Rushidah, Ruzani dan Hasniza (untuk semalam, sebelum pulang ke KL untuk ke Vietnam)....kenangan manis bersama. Riuh rendah dom dengan gelagat kalian. Sporting mereka yang nak tidur awal,...tetap lena walau suara memecah telinga. Gurau senda, gelak ketawa tak mengira usia, kedudukan dan pangkat. Kami adalah satu keluarga, dibungai kasih sayang.
"Bilik Mandi"...menyimpan rahsia tersendiri. Sang kodok yang mengejutkan dan menyebabkan kami bagai lupa diri menjerit, lubang-lubang kecil di dinding-dinding yang menyebabkan aku terpaksa meninjaunya di setiap dinding zink bilik air dan menutupnya dengan tisu dan tempat mandi yang tidak berpintu, bagai berada di kampung ketika zaman kanak-kanak. Sesekali teringat mengamit rindu. Bagai kanak-kanak, kami riuh rendah di bilik air...semua bagai melepas 'tension'.
Aktiviti jelajah kawasan perkampungan memang memenatkan. Perjalanan pergi sejauh lebih kurang 6 KM kami tempuh bermula jam 2.30 ptg.. Cuaca panas kurang terasa, sebab sekitarnya dipenuhi dengan pohon-pohon pelbagai jenis. Tambahan, bergerak dalam kumpulan sambil bercerita, kurang terasa penatnya.Sampai di Check point pertama, kami disoal. Jika tidak dapat menjawab soalan, kami tidak dibenarkan meneruskan perjalanan. Apa yang disoal ialah perkara yang diceramahkan pada sesi pagi. Malangnya, kebanyakan kami mengantuk dan tidak dapat fokus kepada apa yang diceramahkan. Terima kasih kepada Cikgu Normah yang bijak...dan kumpulan kami dapat meneruskan perjalanan.
Check point dua. Agak malang juga...soalan-soalan sejarah yang berkaitan dengan perlembagaan dan pertubuhan Malaysia...kami saling mencuba. Dapat juga menjawab tetapi, disebabkan kurang memuaskan agaknya, ceramah ringkas hampir 10 minit terpaksa didengar sebelum perjalanan diteruskan....Itulah, kalau tidak fokus dalam kelas, ibaratnya kandas.
Check point tiga. Lebih melucukan. Tentang politik pulak. Hal-hal berkaitan dengan parlimen, wakil rakyat dan undi..."lain kali, sejarah kena baca, ambil tahu..."...haha. Kalau bagi tahu awal-awal nak bagi soalan sejarah, kami bacalah awal-awal kan!...Maka, mengakulah semua,...saya cikgu sains, saya cikgu matematik, saya cikgu KH..bla..bla...bila dikenang lucu juga. Akhirnya, 1 KM lagi perjalanan dapat diteruskan sebelum ke tempat rehat di pengkalan sebuah tasik. Ada khemah disediakan...paling penting air sirap sejuk!!!!Dahaganya...
Bermulalah peristiwa-peristiwa lucu dan penuh pengalaman di pengkalan ini. Nantikan.