Tuesday, January 26, 2010

Dari Sebuah Jendela

Dari Jendela separuh terbuka
aku mengintai seorang nenek muda
dengan lenggok dan lenggang senyumnya
terpancar suatu sinar
cahayanya menerjah keluar
dan aku tersuluh oleh cahaya itu.

Betapa sebuah kehidupan
penuh nikmat dan hikmah tercurah
dan aku menyaksikan
dalam sebuah perjalanan yang agak singkat
tapi menyentuh setiap rongga hati
mengagumi dan menghargai
setiap yang boleh dikongsi.

Hari ini nenek muda mendapat gelarannya
tarikh lahir cukup bermakna
hari ini dalam pelukannya
sebuah anugerah dari Maha Kuasa
yang bukan kebetulan tapi suratan
yang tertulis dalam lipatannya sejarahnya
dan jendela tiba-tiba terbuka
aku dapat melihat tawa riangnya
memecah setiap ruang.

Dari Jendela separuh terbuka
aku melhat seorang nenek muda
sedang menyusun bunga-bunga kasih sayang
wanginya terhidu ke luar jendela
moga bunga-bunga itu tidak layu
wajahnya berseri bagai tidak dimamah usia
kerana itulah kehidupan
yang tumbuh dari ketulusan
yang subur dengan kesabaran
yang rimbun dengan kecintaan
pada-NYA suatu kesimpulan.

Dirgahayu sahabatku
kutitipkan bersama doa
Rahmat Allah melimpah kurnia.


Sebuah Nukilan;

Cikgu Khaty (26 Januari 2010)