Tika semua orang sedang berjalan
atas laman kerinduan dan nostalgia silam
aku menyikat kembali semalam nan samar-samar
dimamah musim nan berganti tanpa jemu
menyulam indahnya kenangan
yang telah gugur menjadi dedaun masa
bersatu dengan alam
antara biru laut, putih awan atau hijau belantara
di situ aku berdiri membina kehidupan.
Tika semua orang sibuk bertanya
membuka lembar sejarah menghitung setik masa
aku melirik kembali irama semalam
antara lupa dan tanpa sedar
kerana senandungnya sudah lama tidak berkumandang
menyepi di hujung tanjung di muara tua
di situ aku melakar sejarah kehidupan baru.
Tika semua orang sedang menghimpun kisah
seribu citra terbangun memenuhi ruang bicara
aku menjahitnya menjadi tali temali
menyimpul ikatan persahabatan di ruang maya
menyusun satu persatu kenangan lalu
walau kronologinya sudah tidak tersusun
ingatannya tetap terhimpun
silaturrahim mula menguntum
buahnya keberkatan manisnya keikhlasan.
CIKGU KHATY
9 Mei 2015