Wednesday, April 24, 2013

Kita Masih lagi Berjalan

Kita masih lagi berjalan
kadang merentas siang yang terang benderang
juga meredah malam yang cahayanya samar-samar
jalannya ada kala berliku-liku
adakala sempit dan berbukit-bukau.

Kaki kadang terasa bisa tercucuk duri
atau pernah pedih luka berdarah
sakit mana pun kita tidak bisa berhenti
kerana destinasi masih jauh
tanggungjawab masih di bahu.



Kita masih lagi berjalan
meneruskan sisa kehidupan
masih lagi mengasingkan antara benar dan batil
antara wajib dan harus
antara halal dan haram
yang sudah bercampur aduk dalam satu adunan
hanya ILMU yang menyuluh hati.

Haruskah kita hentikan perjalanan ini
pabila kaki sudah bagai tidak mampu melangkah
jasad bagai sudah tiada daya untuk berdiri
kerana diikut rasa yang remuk
diikut semangat yang goyah
diikut hati yang patah.

Dan rupanya kita masih perlu berjalan
bukan untuk diri sendiri
demi amanah yang kita galas
selagi nyawa dikandung badan.

Cikgu Khaty Ali
24 April 2013

Monday, February 25, 2013

JIKA SIANG TIADA MENTARI


Kalau malam telah tiba
gelap tetap menyapa
bolehkah kau paksa mentari
menampakkan diri bagai tadi siang
sedang peraturan alamnya begitu
kita tiada kuasa mengubahnya.

Purnama datang bertandang
hanya apabila musim mula berganti
sampai masa apabila wajahnya jelas terlihat,
kembali ia pergi perlahan-lahan
dengan senyum 
dia menghilang.

Bagai malam dan siang
silih berganti berehat dan berbakti
tidak jemu dan tidak cemburu
juga tidak pernah iri hati
walau bulan tidak pernah muncul
mengganti mentari.

Bagaimanakah jika siang tiada mentari
hijaukah lagi pohon di bumi
pandang jadi sempit dan beku
gulita itu pasti melemaskan
dan kita terus lemas
dengan kegelapan
yang kita ciptakan sendiri.

Cikgu Khaty15 Januari 2013 


Monday, December 17, 2012

Keliru antara halal dan haram.
Banyak perkara yang kita lihat hari ini sama ada pakaian, makanan, pergaulan dan seumpamanya.
Malah menghalalkan yang haram pun ada...

Kecelaruan berlaku tanpa disedari.... menutup aurat misalnya,.sekadar menutup apa yang perlu ditutup atau tutup seperti yang disuruh tanpa kesempurnaan.

Yang mana betul?


Berkenaan pakaian adalah termasuk dalam bahagian adat, agama islam mewajibkan atas orang Islam lelaki dan perempuan supaya berpakaian menutup aurat sama ada ketika sembahyang atau diluar sembahyang dan haram membukakan aurat melainkan dalam masalah yang tertentu dan tidak pula agama islam menyatakan cara potongan pakaian yang tertentu bagi menutup aurat dan badan itu

Firman Allah taala dalam Al-Quran:يابني آدم قد أنزلنا عليكم لباسا يواري سوءاتكم وريشا ولباس التقوى ذلك خير - الأعرف : 26

Ertinya: Wahai anak adam sesungguhnya telah kami turunkan atas kamu pakaian yang menutup aurat kamu dan kami telah turunkan perhiasan bermula pakaian takwa (amal soleh) adalah lebih baik dari yang demikian.


Makanan yang halal sangat penting. Sama ada halal dari segi hukumnya atau halal disebabkan tidak menjejaskan kesihatan atau memberi kemudaratan. 
Panduan mencari makanan halal
Makan ikut selera juga boleh memudaratkan
Kita yang tentukan kesihatan diri kita sendiri

Kesimpulannya: 
Mencari yang halal itu wajib. Menjauhi yang haram itu wajib. Oleh itu menjadi kewajipan kita untuk melakukannya. Bersamalah mencari redha Allah. Apa yang disuruh dan dilarang pasti ada hikmah di sebaliknya. Yang pasti...semua yang baik itu dari Allah dan yang buruk itu adalah daripada kelemahan kita sendiri. Wallahualam.