Tuesday, February 28, 2012

Kehidupan Yang Tersurat

Bulan yang sebulan sekali menyapa
mengintai dengan rasa malu
perlahan-perlahan memperkenal diri seluruhnya
sehingga isi alam tersenyum
pada warna indahnya
di tengah gulita malam.

Dengan sopan pula
melangkah pergi perlahan-perlahan
sabar dan tenang
bagai meninggalkan sang kekasih
sarat dengan cinta dan rindu.

Tunggullah
sepurnama lagi aku kembali
wajah senyum sinar cintaku
menyuluh seluruh rindumu
tanpa jemu aku datang dan pergi
kerana itulah yang telah diaturkan
sebuah kehidupan untukku
dan aku
tidak bisa mengubahnya.


Cikgu Khaty Ali
28/2/2012 10mlm)

MADAH ORANG DAGANG

Memendam rasa pedih berbisa
berkata pula hati terluka
helah bermadah orang tak faham
berkata jelas panah menikam
duduk berdiam hancurnya hati
mencurah rasa tiada yang sudi
berkongsi kisah tiada yang endah
membisu pula sakitnya parah.

Apa gerangan hidup berdagang
di sini tiada di sana kurang
bercakap lebih banyak salahnya
berdiam sombong begitu tuduhnya
hendak berlagak jangan sekali
bertambah pula orang membenci
berbuat baik biar berpada
bimbang dituduh menagih cinta

Di khalayak ramai menjaga laku
nama baik jaga selalu
kiri dan kanan orang memuji
pusing belakang orang mengeji
biar mengalah dari berbalah
dari bertengkar berpecah belah
jangan sedih diri dilupa
kasih Allah dilipat ganda
sentiasa mengenang budinya orang
suburkan sifat berkasih sayang.

Akhir kata menyusun jari
mana yang silap harap maafi
semoga kita Allah pelihara
dunia akhirat hidup bahagia.

Cikgu Khaty
Sore 28/2/2012

Saturday, December 10, 2011

Gerhana Bulan

Suasana langit gelap. Saya yang sedang berada dalam kereta memerhatikan keadaan langit yang sedang hilang cahaya sedikit demi sedikt. Jam menunjukkan hampir 10.30 malam. Cahaya bulan sudah hampir gerhana penuh. Rasanya inilah pertama kali saya menyaksikan gerhana bulan yang sebenar-benarnyan. Walaupun kereta bergerak pantas di jalsn raya, saya masih dapat menyaksikan dengan jelas. Sakit juga tengkok kerana asyik mendongak dari cermin tingkap kereta.

10.48 malam, cahaya samar tampak sedikit di sebelah kanan bulan. Bumi hampir menutupi seluruh bulan. Bergerak perlahan penuh tertib dan sabar. Pada waktu ini di masjid-masjid seluruh sedang mengadakan solat sunat gerhana bulan. Semoga kita semua dilindugi Allah daripada segala bencana. Dalam suasana malam yang langitnya gelap gelita, kelihatan langit dan bumi bagai bertemu di hadapan. Jika tidak ada cahaya daripada lampu kereta.....masya-Allah tak boleh saya bayang keadaan di tengah-tengah highway ini.

10.59, cahaya bulan semakin hilang.11.02 malam, cahaya bulan terus terpadam. Yang kelihatan di langit, sebutir dua bintang di langit gelap. Mungkin dalam setengah jam lagi, bumi akan beredar sedikit demi sedikit daripada kedudukan antara matahari dan bulan.

11.24 cahaya bulan sudah mula kelihatan semula, hampir membentuk bulan sabit. Malam hampir keluar daripda kegelapan pekatnya. Maha suci Allah, walau kami bergerak dari satu daerah ke satu daerah...kami tetap dapat melihat kebesaran-MU. Kami berada di atas bumi tenang meneruskan kehidupan, walaupun menyaksikan kejadian yang membuktikan bumi yang kami pijak ini sentiasa beredar dan berputar tanpa henti. Terima kasih Ya Allah kerana masih lagi membenarkan kami benafas.