Pantasnya masa berlalu. Banyaknya urusan yang perlu diselesai. Belum terlepas daripada tangan kiri, tangan kanan sudah menyambar tugas yang baru. Tidak kurang yang bercekang mata menyiapkan sisa tugas yang bakinya masa tidak terhitung.Malam sudah terlepas ke awal pagi. Hari tanpa sedar berganti tanpa disedari. Jejari tetap tabah melakar warna merah pada kajang yang penuh berisi. Mata terpaksa menanggung derita kerana berjaga lebih masa. Seluruh urat nadi terasa bagai hampir putus. Namun itulah cinta seorang GURU. Hanya guru juga mengerti erti pengorbanan itu. Dihargai atau tidak oleh anak didik itu bukan soalnya. Hatinya berbunga ingin mengetahui perkembangan anak didik daripada keputusan yang dicapai. Dan aku, terkesima dengan pengorbanan kalian. Hari ini simpatiku melimpah rasa, apabila terdengar rintih kecil seorang guru tetapi wajahnya riang kerana tanggungjawabnya terlaksana.
Tidak meraih simpati juga tidak minta dikasihani. Cukuplah kalau ada yang mengerti dan memahami dan menghargai akan apa yang dibebani. Bahu guru ini masih menggalas tugas walau datangnya bagai peluru satu demi satu. Tidak juga mereka gagah seperti tentera di medan perang. Perkasanya kerana semangat dan kegigihan. Kekuatannya kerana jiwanya penuh keikhlasan. Kerana aku guru, aku juga yang akan tahu. Kerana aku guru, aku juga yang saban hari menjadi saksi.Letaklah guru kami di medan mana pun, tidak gentar mereka mencuba. Bagilah tugas apapun, kesungguhannya pasti ternyata.
Sekalung budi cintaku padamu guru. Terakam jasamu dalam ingatan. Perjuanganku adalah daripada benih perjuanganmu yang terus hidup...menyemarak bagai api merah membakar. Moga obor semngat ini tidak akan padam dan terus menyala meyuluh warisan pendidik pejuang bangsa.
Semoga pagi esok, apabila mentari terbit pagi, guru-guruku akan terus tersenyum dengan semangat yang jitu. Semoga keikhlasan dan kemurnian hatimu, membawamu ke pintu syurga.
Amin.
Cikgu Khaty
18 September 2012.