Monday, November 7, 2011

Hadiah untuk kami ibu dan bapa ialah "SEORANG ANAK YANG SOLEH DAN SOLEHAH". by Cikgu Khaty Ali on Monday, 07 November 2011 at 23:12

Salam aidiladha. Raya yang penuh pengertian dan kaitannya dengan kehidupan seharian.Menonton televisyen, mendengar radio mahupun makalah-makalah sempena Raya Qurban ini membuat saya terpanggil untuk mencoret rasa dan berkongsi cerita. Sesuai dengan pengertian pengorbanan itu sendiri, maka cerita-cerita yang ditayang di kaca TV kebanyakan berkisar kepada kehidupan yang begitu sinonim dengan kita iaitu pengorbanan ibu bapa. Itulah peristiwa yang berlaku setiap hari, melingkari kehidupan kita siang dan malam. Pengorbanan dalam erti kata yang lebih besar, membabitkan kehidupan sebelum dan selepas mati, syurga dan neraka. Perjalanan kehidupan penuh dengan kasih sayang yang tidak ternilai sehingga sanggup berkorban apa sahaja.

Sehari sebelum menyambut Aidiladha, saya begitu teruja dengan sebuah kisah yang dibintangi oleh Eja sebagai ibu tunggal yang mempunyai anak yang begitu menghargai kasih ibu dan sanggup berkorban demi kebahagian dan memenuhi hasrat ibunya. Kisah trajis berakhir dengan kematian anaknya yang begitu baik, taat dan penyayang. Selalunya saya menonton kisah anak yang melupakan ibu bapa, anak yang derhaka dan seumpamnaya. Berlainan sekali kisah yang dipaparkan ini, satu kelainan yang berkesan dan kasih sayang yang dipaparkan bagai meresap ke seluruh jiwa dan naluri seorang ibu. Kasih sayang antara ibu dan anak serta pengorbanan antara mereka saling bersandaran dan begitu menyentuh.

Terbawa-bawa dengan kisah yang dibaca dan ditonton, sepanjang hari ini fikiran saya dipenuhi dengan idea-idea untuk dilontarkan di sini. Sebelum menjadi seorang ibu, memang kita tidak akan dapat menyelami sepenuhnya perasaan seorang ibu yang sebenar. Apatah lagi pada zaman remaja seperti saya dahulu, tidak banyak perkongsian pengalaman, motivasi dan saluran-saluran khidmat nasihat yang boleh kita gunakan dan cari seperti sekarang. Masih saya ingat dahulu, kalau dimarahi ibu, saya akan merasakan ibu tidak memahami saya. Kalau bersuara lebih pasti dikata melawan. Lalu. semua perasaan itu akan saya lontarkan pada sekeping kertas dan saya akan menangis sepuas-puasnya atau merajuk dengan mendiamkan diri di dalam bilik.Lebih utamakan perasaan sendiri, tidak pula memikirkan tergurisnya hati seorang ibu. Tetapi selepas itu, hati ibu saya sentuh semula dengan menyediakan makanan yang disukainya atau melakukan perkara-perkara yang disenanginya. Sebenarnya, kita tidak akan terfikir jauh seperti apa yang difikir oleh seorang ibul. Kita tidak ada rasa benar-benar bersalah terhadap marahnya ibu atau ayah sekiranya lewat balik ke rumah, tidak membantunya membuat kerja, tidak mendengar nasihatnya dan semua perkara yang tidak disenangi oleh mereka.

Segala teguran itu kita anggap leteran yang membosankan, marah mereka umpama satu kebencian yang dilontar, larangan mereka itu dan ini merupakan perkara yang meletihkan...kita hanya rasa kita sahaja yang kecil hati, kita sahaja yang hatinya tidak dijaga, kita rasa kita bagai tidak disayangi....dan itulah tanggapan anak-anak sejak dahulu hingga sekarang terhadap orang tuanya.

Kasih ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah rela berkorban nyawa...

Menjadi seorang ibu, sedikit demi sedikit saya mula merasai apa yang mungkin dirasai oleh ibu saya dan saya menjadi lebih memahaminya. Malangnya ketika saya benar-benar memahaminya, dan ingin berkongsi rasa perasaan suka duka seorang ibu, saya tidak berpeluang berbuat demikian. Ibu pergi sebelum sempat saya menghadiahkan cucu untuknya, yang boleh mencium pipinya, berbaring di atas pangkunya dan memanggilnya 'atuk'. Dan itulah yang saya inginkan, melihat anak-anak saya bermanja dengan atuknya sebagaimana anak-anak orang lain. Ingin sekali saya menunjukkan anak-anak saya yang begitu comel masa kecilnya, begitu petah bercakap dan manja. Ibu pergi sebelum saya sempat membawanya tinggal bersama kami, dan menikmati kebahagiaan dan kesenangan yang telah beliau sediakan sebelum saya dewasa. Ayah pula meninggalkan saya sejak saya berusia 9 tahun, dan saya sempat menerima belaian dan kasih sayangnya yang sangat manis.

Anak-anakku yang di rumah, yang sedang menuntut, yang bekerja dan yang berada di mana sahaja di luar sana;
Rupanya perasaan seorang ibu begitu besar dan tidak terbanding nilainya. Melalui pengalaman sebagai ibu yang hampir mencecah 21 tahun, membuat saya kadang-kadang terasa begitu rindu terhadap ibu saya yang sudah lama pergi. Nilai kasih ibu begitu besar. Di sini ingin saya titipkan tentang kasih sayang seorang ayah yang tidak terhitung harga pengorbanannya. Berselindung di sebalik ketegasan, di sebalik ego lelakinya, rupanya terselit sebuah perasaan halus yang begitu suci dan kudus. Walau disembunyikan tetapi orang yang faham bisa melihat itu. Sepi seorang ayah apabila anak-anak sudah besar dan terpaksa meninggalkan mereka untuk tuntutan ilmu dan pekerjaan, kadang-kadang tampak pada matanya. Kerinduan yang membelenggu dirinya . Sesekali terbayang pada wajah dan gerak lakunya atau pada tutur katanya. Ibu akan turut merasa itu. Pada waktu-waktu tertentu terutama hujung minggu atau lebih-lebih lagi pada hari raya, kepulangan anak-anak sentiasa dinanti. Ke mana pun kaki melangkah akan begitu terasa kalau anak tidak bersama. Sebut sahaja apa pinta anak, ayah terus sahaja menunaikannya tanpa banyak bicara .Keperluan anak diutama. Perasaan anak begitu dijaga. Menegur anak pun dikawal kata dan bahasa...Syahdunya kasih ayah....

Pada lewat usia seperti ini, yang entah berapa lama lagi mengecap nikmat dunia rupa-rupanya hati mudah terusik. Itulah yang selalu dicerita oleh kakak-kakak saya mahupun rakan sejawat. Teringat kata seorang sahabat yang juga seorang ayah...'kita tidak boleh terlalu ideal terhadap anak. Be rasional. Jika tidak kita akan kecewa dan sedih selalu. Terima mereka seadanya, dan berdoa.Isya-Allah.' Terkenang pula kata seorang ibu yang juga saudara rapat saya,...apabila anak sudah dewasa, belajar tinggi, bekerja dan berkeluarga sendiri, ibu bapa akan merasa terpencil. Sentiasa pula akan risau tentang keadaan hidupnya, terutama solatnya.' Mana tidak, siapakah yang akan mendoakan ibu bapanya apabila mereka tiada , jika tidak anak-anak yang soleh. ...sayu...adakah setelah ibu bapa tidak ada baru anak-anak akan mendoakan mereka? Seorang ibu atau ayah, sepanjang hayatnya tak putus berdoa untuk anak-anaknya. Tak pernah jemu walau bongkoknya sudah hampir menjejak bumi.

Begitulah kasih ibu bapa. Dalam kandungan, ibu membawa kita ke sana ke mari dengan bangga dan gembira. Kesukarannya semasa mengandung sehingga melahirkan, tidak dapat dibayang dengan kata. Lahir anak ke dunia, lain ragamnya.Anak menangis dipujuk. Makannya disuap. Mandinya disirami. Sakitnya bercekang mata.Tidurnya didodoi. Setiap hari diusap sayang, dicium manja. dari tapak kakinya selebar dua jari, hingga mereka mampu berdikari, kasihnya utuh dan kukuh. Bertahun-tahun sabar membesarkan anak. Sanggup berhutang, bergolok gadai. Apakah kita insaf tentang itu semua. Menjaga ibu sakit sehari, kita merungut. Menjenguk selalu kita tak mampu. mampukah kita menyuap nasi ke mulutnya setiap hari? Dapatkah kita memeluknya waktu mereka memerlukan sebagaimana mereka mendakap kita dahulu? Bolehkah kita memanjakan dan menyayangi mereka sebgaimana yang dilakukan oleh mereka terhadap kita...terbayarkah semua itu??? Lebih malang lagi mengapakah ada anak yang sangguip menyiksa sehingga membunuh ibu sendiri....subhanallah...

Besarnya pengorbanan ibu dan ayah. Kasih sayangnya ibarat air lautan yang tak pernah kering. Doanya menjadi payung kehidupan. Rindunya salju awan, putih dan bersih. Harapannya setinggi gunung. Di depan kita dihamparkan hijau kehidupan. Dan kita menikmati wangi cinta yang diciptanya. Bersyukurlah kerana kita punya ibu bapa. Sedaya mungkin, gembirakan mereka. Sebanyak mungkin sayangilah mereka, walau segalanya tidak dapat menandingi kasih yang diberi oleh mereka. Ketahuilah anak-anak...ibu bapa tidak mengharapkan balasan harta yang menggunung, atau duit yang melimpah atau rumah agam yang tersergam. Cukuplah secanggir kasih yang tulus buat dihirup saban hari selagi usia masih ada. Jika mereka tiada, lakukan yang terbaik untuk mereka ....doa kudus dan tulus...

Hadiah untuk kami ibu dan bapa ialah "SEORANG ANAK YANG SOLEH DAN SOLEHAH".

Terima kasih untuk anak-anakku yang terus mendoakan mama dan ayah. Kalian adalah yang terbaik untuk kami.
Salam .


7 Nov.2011/11 Zulhijjah 1432

No comments:

Post a Comment