KUALA LUMPUR 10/1/2011
Konteks penggunaan perkataan 'paria' dalam novel Interlok boleh dijelaskan dengan tepat kepada pelajar Tingkatan Lima yang bakal menggunakannya sebagai komponen teks sastera mulai tahun ini.
Sasterawan Negara, Datuk Dr. Mohd. Anuar Rethwan berkata, malah istilah tersebut tidak perlu diubah atau digantikan dengan perkataan lain cuma diterangkan melalui nota kaki di bawah halaman novel karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain itu.
''Memang menjadi tugas guru untuk menerangkan kepada pelajar penggunaan perkataan ini yang dianggap sensitif supaya generasi muda dapat memahaminya mengikut konteks asal.
''Ini kerana latar sosial masyarakat India melalui kasta tersebut sememangnya wujud mengikut sejarah peradaban India,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai polemik Interlok yang diangkat sebagai salah sebuah novel untuk komponen sastera dalam Bahasa Malaysia Tingkatan Lima bermula tahun ini.
Penggunaan novel itu mendapat bantahan kerana dikatakan bersikap perkauman sehingga mendorong ia dibakar oleh kira-kira 100 kaum India di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK), kelmarin.
Beliau yang juga dikenali Anwar Ridhwan menjelaskan, tidak ada sebarang cacat cela pada novel itu sehingga boleh menimbulkan kemarahan sebilangan masyarakat India negara ini kecuali ia dipolitikkan bagi tujuan tertentu.
''Novel tersebut merakam peristiwa sejarah di ambang kemerdekaan ketika Malaysia didatangi buruh-buruh asing bagi tujuan ekonomi kolonial dan penulis menceritakan peristiwa itu berdasarkan bukti sosiobudaya pada masa itu.
''Mereka harus faham sebuah teks yang mentafsir sejarah masyarakat India sebagaimana yang turut diceritakan dalam sebuah karya India, Mulk Raj Anand, berjudul 'Untouchable','' katanya.
Sehubungan itu, Anwar Ridhwan menyokong agar penggunaan novel tersebut diteruskan sekali gus amat kecewa dengan sikap tidak intelektual perbuatan membakar novel itu.
''Ia sebenarnya boleh diselesaikan melalui perundingan antara dua pihak bukan dengan cara berdemonstrasi di jalanan,'' katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, istilah paria dalam novel itu boleh dianggap relevan pada zaman yang dibicarakan dan ia perlu diambil iktibar oleh masyarakat ketika ini.
''Sebarang pertentangan pendapat perlu dibincang terlebih dahulu dan memahami keseluruhan novel tersebut bukan sekadar memetik beberapa perenggan dan dipolitikkan walaupun novel itu bersifat pendidikan.
''Biar kerajaan memutuskan langkah terbaik kerana novel itu hak mutlak penulis dan semua pihak harus menghormatinya,'' katanya.
- Utusan Malaysia
Dicatat oleh Cikgu Abd Razak Bin Hassan di 20:02 0 ulasan
No comments:
Post a Comment