Thursday, February 11, 2016

SEJARAH TETAP SEJARAH

Sejarah tetap sejarah
Ditinggalkan dan berlalu
Yang dilepaskan sebuah kenangan
Yang dikenang sebuah nostalgia
Semuanya sejarah 
Tidak berulang
Tidak juga kembali.
Hari ini semuanya kisah baru
Sejarah yang baru dibangun
Walau yang datang bersama kenangan
Semuanya mengukir kisah lama
Dengan kisah baru cerita baru
Kerna sejarah tetap sejarah
Terkubur di hamparan masa.




Esok cuma ramalan
Yang dirancang dan diangan
Mungkin jadi nyata atau sebuah mimpi
Atau harapan yang terapung
Di lautan rindu yang terbeku.
Moga semua impian bersinar
Bagai mentari dan bintang purnama
Dengan doa kudus tak pernah putus
Kerna Allah Maha Pengurnia
Maha Pemurah Maha Penyayang.

CIKGU KHATY
7 FEBRUARI 2016

HIKMAH-NYA

Setiap sesuatu yang Allah duga pasti ada hikmah di sebaliknya.
Kadang Allah minta kita bersyukur
Kadang Allah suruh kita berfikir
Kadang Allah mahu kita banyak mendekati-Nya
Kadang Allah mahu melihat kesungguhan kita
Kadang Allah hendak bagi kita ilmu
Kadang Allah menguji keimanan
Kadang Allah mengeratkan hubungan
Semuanya Allah telah atur
Tersusun dan cantik
Kitalah yang patut sentiasa berusaha
Mencari keredhaan-Nya.
Terima kasih Allah
Keampunan kupohon
Kerana sikit membalas
Atas besarnya nikmat yang Kau beri.






CIKGU KHATY 
6 FEB 2016

Saturday, May 23, 2015

SYAIR ORANG BERSARA

Syair orang bersara
pujangga orang lama
menyusur sungai usia
membilang demi masa.

Dulu ke sana kemari

tinggal anak tinggal suami
kini sampai masa kembali
mendaftar diri sebagai suri.

Dulu lelah sana sini diredah

rasa letih dan  keluh kesah
apa diarah diterima pasrah
demi tugas sukar dibantah.

Kini semua terurai sudah

langkah bebas hati tak gundah
ke hujung dunia boleh dijengah
semua dihajat tak perlu berlengah.

Kerna dirinya seorang guru

murid dan rakan pasti dirindu
berpuluh musim mencurah ilmu
Saban hari sekolah ditunggu.

Berhujung minggu cuti pun begitu

ada sahaja program menunggu
kini semuanya akan berlalu
suami dan anak perhatian ditumpu.

Selamat tinggal dunia pendidik
kenangan manis pasti dikelek
yang pahit ubat yang baik
redha segala tiada yang jelek.

Bagi yang tinggal sumbangkan bakti

anak didik kalian sayangi
berputus asa jangan sekali
semoga hidup Allah berkati.

Mohon ampun setulus kata

diri ini janganlah dilupa
di angin lalu khabarkan berita
jika rindu datang menyapa.


(CIKGU KHATY: 23 Mei 201
5)